SHAH ALAM - Beberapa syarikat penerbitan buku mengisytiharkan lima komitmen bersama menerusi Deklarasi Shah Alam dalam usaha memperkukuh ekosistem novel Malaysia.
Syarikat penerbitan yang juga rakan strategik dalam menjayakan Festival Novel Malaysia 2026 itu ialah Grup Buku Karangkraf, Manes Wordworks, Prolog Media, Mangosteeen Books dan Ink Loaf Publications.
Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, antara komitmen tersebut adalah memartabatkan karya berkualiti tinggi dan penulis tempatan sebagai asas kepada kelangsungan industri.
Menurutnya, komitmen seterusnya adalah mempertahankan hak pengkarya dalam era kecerdasan buatan (AI).
Konvensyen Penulisan Novel itu diadakan sempena Festival Novel Malaysia 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 27 September di Kompleks Karangkraf.
Firdaus berkata, penerbit turut komited membina industri penerbitan yang mampan melalui pembangunan harta intelek serta peluasan pasaran.
“Pada masa sama, kami berkongsi tanggungjawab membina generasi pembaca seterusnya dengan memperkukuh budaya membaca dan cintakan ilmu.
“Komitmen kelima adalah untuk bergerak sebagai sebuah industri, bukannya bersaing dan menjatuhkan sesama sendiri,” katanya.
Jelas beliau, masa depan novel Malaysia tidak seharusnya ditentukan oleh satu penerbit, penulis atau karya semata-mata, sebaliknya perlu dibina menerusi ekosistem yang bergerak secara bersama.
“Kami percaya, masa depan novel Malaysia tidak ditentukan oleh satu penerbit, satu penulis atau satu karya.
“Ia dibina oleh sebuah ekosistem yang bergerak bersama. Inilah komitmen kami,” ujarnya.