SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya, dinamakan semula sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman, sebagai mengenang jasa dan sumbangan tokoh pendidikan itu dalam pembangunan institusi berkenaan.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat sebagai penghargaan terhadap legasi Allahyarham Arshad, yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam perkembangan Institut Teknologi MARA (ITM) sehingga menjadi UiTM, malah terkenal dengan ketegasan dalam soal mutu pendidikan, tatakelola dan peluasan peluang pendidikan kepada anak Bumiputera.
"Kalau dalam mesyuarat, saya ingat bila saya sudah jadi menteri, dia bagi pandangannya dengan serius, dia tidak pandang tak ambil ringan, terutama keghairahan atau obsession dia tentang pendidikan, mutu pendidikan dan peluang pendidikan anak-anak Melayu.
"Anak-anak muda mungkin tidak dapat mengimbas tetapi zaman beralih, ramai yang menjadi jaguh yang menganggap mereka itu champion yang bicara soal perjuangan Melayu dan sebagainya, tak ramai yang kekal dengan sikap dan tatakelola dan tidak menggunakan nama atau agensi Melayu itu untuk memperkayakan diri atau merosakkan agensi.
"Jadi kita harus belajar daripada beliau. Bukan sekadar pendiri, penegak sistem, tapi cara dia mengurus dan bertanggungjawab, dalam menetapkan sistem dan tatakelola yang baik, sebab itu ITM Jalan Othman meningkat, kerana pengurusan cekap dan menghindari salah laku yang boleh merobohkan institusi itu,” kata beliau ketika berucap pada Himpunan Alumni UiTM Bersama-sama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim; Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) Saiful Azhar Shaharun.
Allahyarham Arshad yang telah meninggal dunia pada 2022, merupakan pengarah pertama ITM sejak 1967 sehingga 1975, sebelum dikenali sebagai UiTM dan dianggap sebagai pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM, selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian.
Sebagai permulaan, Anwar turut meluluskan peruntukan segera RM2.5 juta untuk menaik taraf kampus berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap agenda pembangunan Bumiputera, termasuk memperkukuh institusi pendidikan dan agensi Bumiputera, selaras dengan prinsip keadilan sosial.
Pada masa sama, beliau menegaskan usaha memperkukuh agenda Bumiputera tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Bumiputera.
"Ada orang tanya tentang sikap, pendirian Kerajaan MADANI dalam soal agenda Bumiputera. Kita dengar dalam suasana politik, kadang-kadang disindir, diselit-selit seolah-olah kita pinggirkan.
"Saya nak berikan angka, Contoh, peruntukan mengurus dan pembangunan untuk UiTM sahaja dari kurang RM2 bilion sebelum Kerajaan MADANI, meningkat tiap tahun. Peruntukan untuk UiTM tahun 2026 ialah RM3.08 bilion.
"Dan ini adalah minggu-minggu akhir sebelum Belanjawan negara diumumkan pada 9 Okt nanti, saya nak beri jaminan pendirian kita tentang dasar pembangunan Bumiputera dengan agensi-agensi Bumiputera terus diberi perhatian dan saya nak buktikan bahawa dalam Kerajaan MADANI, perhatian kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, sosial, pendidikan Bumiputera jauh lebih tinggi dari mana-mana pemerintahan sebelumnya,” katanya.
Anwar turut menggesa alumni UiTM memainkan peranan lebih besar dalam membantu kerajaan menilai dan memperkukuh program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM.
Beliau mencadangkan PAUiTM memilih antara tujuh hingga 10 orang alumni untuk menilai program berkenaan, termasuk memberi pandangan mengenai bidang pengajian baharu yang perlu diperkembangkan seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan bidang kesihatan.
"Saya akan beri seluruh peluang dan laluan untuk saudara nilai setiap program utama agensi Bumiputera termasuk UiTM supaya dapat diperbaiki dan ditingkatkan,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan kebajikan mahasiswa, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk memastikan tiada mahasiswa yang terpaksa berdepan masalah makanan ketika mengikuti pengajian.
Sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha PAUiTM, Perdana Menteri telah meluluskan sumbangan bagi pelaksanaan dua program iaitu Program TUNaS Belia NEET sebanyak RM100,000 dan Himpunan Mesra Alumni UiTM sebanyak RM100,000.- Bernama