GURUN - Kira-kira 5,000 rakyat Kedah memeriahkan Majlis Jamuan Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-84 Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Sekolah Kebangsaan Jeniang (Pusat), di sini pada Sabtu.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 11.28 pagi memberi peluang kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk bersua muka dan bersama-sama meraikan hari keputeraan Sultan Kedah.
Majlis turut dihadiri kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta diserikan dengan persembahan tarian dan permainan tradisional.
Rakyat yang hadir turut dijamu hidangan kenduri yang menyediakan lima ekor lembu bagi majlis berkenaan.
Bagi rakyat, keberangkatan Sultan Kedah ke majlis tersebut menjadi kenangan bermakna kerana memberi peluang kepada mereka bertemu dan menyantuni baginda secara lebih dekat.
Seorang rakyat, Mat Isa Samsuddin, 60,berkata, peluang untuk bertemu Sultan Kedah pada majlis berkenaan amat dihargai.
Menurutnya, majlis berkenaan memberi peluang kepada rakyat untuk berjumpa Tuanku.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Sami Siam Malaysia, Dr Nikphon Endin Kiau @ Mahamat berkata, rakyat Kedah perlu bersama-sama meraikan hari keputeraan Sultan Kedah.
“Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Kedah meraikan hari keputeraan Tuanku. Dirgahayu Tuanku,” katanya.
Bagi Pengerusi Kuil Sri Veeramakaliamman, Vijaya Letchumi Raju pula, masyarakat berasa bertuah apabila diberi peluang menghadiri majlis bersama Sultan Kedah.
“Kami rasa sangat-sangat bertuah kerana dipanggil. Tuanku memang orang yang baik dan kami rasa bangga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Jamuan Rakyat, Datuk Siti Ashah Ghazali dalam ucapannya menyifatkan keberangkatan Sultan Kedah sebagai lambang keakraban dan kasih sayang yang tidak pernah terputus antara institusi kesultanan dengan rakyat.
Keberangkatan baginda ke Jeniang juga disifatkan meninggalkan kenangan manis kepada rakyat, khususnya penduduk di Jeniang dan Daerah Kuala Muda.
Sultan Sallehuddin kemudiannya berangkat pulang meninggalkan majlis pada jam 1 petang.