Ibu dan kekasih didakwa racun tiga anak guna manisan

Iklan
Wanita berkenaan kini sudah ditahan. Foto: Agensi

CHANDIGARH – Misteri kematian tiga beradik di Punjab, India yang pada mulanya disangka akibat keracunan makanan bertukar menjadi kes pembunuhan selepas ibu mereka didakwa mencampurkan racun rumpai ke dalam manisan dengan bantuan kekasihnya.

Tiga mangsa, Jasnoor Kaur, enam tahun; Armandeep Singh, lima tahun dan Rehandeep Singh, dua tahun setengah, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan pada 26 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurut polis, ketiga-tiga kanak-kanak itu memakan manisan yang dibeli dari sebuah kedai sempena sambutan Raksha Bandhan sebelum keadaan kesihatan mereka merosot.

Kematian mereka pada awalnya dipercayai berpunca daripada keracunan makanan.

Iklan

Bagaimanapun, siasatan mula menimbulkan keraguan selepas polis mendapati individu lain yang turut memakan manisan dari kedai sama tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penemuan bahawa racun rumpai dipercayai telah dicampurkan ke dalam manisan sebelum diberikan kepada tiga beradik tersebut.

Iklan

Pegawai kanan polis, Ravjot Kaur Grewal berkata, ibu mangsa, Lovepreet Kaur didakwa mempunyai hubungan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Harjit Singh.

Penyiasat mengesyaki Lovepreet dan Harjit berkenalan menerusi Instagram sebelum didakwa merancang untuk menghapuskan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan asal, polis tidak memperincikan motif lebih lanjut di sebalik rancangan tersebut.

Kes itu didaftarkan selepas bapa kepada kanak-kanak terbabit, yang bekerja sebagai pemandu lori, membuat laporan kepada polis.

Lovepreet kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala Harjit masih diburu dengan beberapa operasi sedang dijalankan bagi mengesannya.

Polis turut menjalankan pemeriksaan forensik terhadap manisan yang disyaki dicampur racun serta bahan lain yang dikumpulkan sepanjang siasatan bagi mengukuhkan bukti dalam kes tersebut. - Agensi