KOTA KINABALU - Sebanyak RM40 juta disalurkan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) setakat ini bagi membantu 27,781 pelajar yang memerlukan bantuan pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 pelajar dari seluruh pelosok Sabah menerima manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.
Menurutnya, penubuhan TPNS berasaskan tema 'Peluang Tajaan Untuk Semua' terbukti menjadi antara instrumen penting dalam memperluas akses bantuan pendidikan kepada rakyat Sabah.
"Hari ini kita memberi bantuan kepada anak-anak Sabah, pelajar-pelajar yang layak menerima, yang kita bantu hari ini ataupun selama ini kira-kira 27,000 melalui TPNS dan belanja yang telah kita keluarkan ialah lebih kurang RM40 juta.
"Jadi hari ini, sebahagian daripada bantuan itu kita beri kepada mereka yang tinggal di sekitar Kota Kinabalu ini sahaja dan mereka yang akan menerima lebih ramai lagi di seluruh Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu di sini pada Jumaat.
Hajiji berkata, bantuan berkenaan antara lain bertujuan meringankan beban pelajar kurang berkemampuan, termasuk mereka yang belum menerima pinjaman atau biasiswa kerajaan.
"Inilah yang kita buat untuk membantu anak-anak Sabah, pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan.
"Ada juga mereka ini tidak menerima pinjaman ataupun biasiswa kerajaan, jadi sementara mereka buat rayuan, maka kerajaan melalui TPNS ini kita bagi bantuan untuk meringankan beban mereka sekurang-kurangnya tahun pertama mereka di universiti," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, usaha berkenaan bukan sekadar melibatkan penyampaian bantuan kewangan, sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada anak Sabah untuk meneruskan pengajian, mencapai cita-cita serta membina masa depan.
"Inilah antara tanggungjawab besar kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan Sabah.
"Kita mesti melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing. Inilah pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah," katanya.
Beliau berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, jumlah itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding peruntukan RM50 juta pada 2020, manakala sepanjang 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, mengulas mengenai pelajar yang kurang mengetahui kewujudan bantuan pendidikan disediakan kerajaan negeri, Hajiji berkata, pelancaran TPNS Smart Application akan memudahkan mereka membuat permohonan secara dalam talian.
"Itulah. Tadi kita lancar aplikasi bagaimana mereka dapat memohon secara dalam talian (online).
"Kalau mereka tidak tahu, mereka boleh menghubungi pegawai-pegawai Yayasan Sabah ataupun pegawai di Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri untuk bertanya di mana tempat mereka boleh memohon bantuan jika sekiranya mereka tidak dapat satu permohonan biasiswa ataupun pinjaman begitu," katanya.