KUALA LUMPUR - “Saya tidak tahu.”
Demikian kata anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa ketika ditanya mengenai pembayaran denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat bapanya.
Beliau berkata demikian sambil melemparkan senyuman kepada pihak media ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Nooryana hadir bersama anak-anaknya bagi mengikuti prosiding permohonan bapanya untuk menangguhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion yang dikenakan terhadapnya dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Anak keempat Najib juga tidak mengulas mengenai jumlah yang terkumpul sebelum memasuki lif menuju ke mahkamah untuk bertemu bapanya.
Najib sebelum ini dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Pada 26 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah, mendapati Najib bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan berkenaan, membabitkan dana 1MDB berjumlah kira-kira RM2.3 bilion.