KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat supaya hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ditangguhkan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 72 tahun itu membuat permohonan berkenaan terhadap sabitan bersalah dan hukuman atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hukuman penjara itu sepatutnya bermula selepas beliau menamatkan hukuman berhubung kes SRC International kelak.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin kemudiannya menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan tersebut.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah sama antara 2011 hingga 2014.
Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
AKAN MENYUSUL