Berat Kelat susut 100kg, kebajikan DAK di Zoo Tennoji terus dipersoal

Iklan
Berat Kelat susut 100kg dan Santharasekaran (kiri)

KUALA LUMPUR – Kebajikan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun terus dipersoalkan susulan dakwaan berlaku penyusutan berat badan terhadap gajah jantan, Kelat.

Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), Prof Dr Santharasekaran Subramaniam mendakwa berat badan Kelat menyusut 100 kilogram daripada kira-kira 2,800 kilogram kepada 2,700 kilogram.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kesihatan dan kebajikan gajah berkenaan, terutama ketika Kelat dikatakan sedang melalui fasa musth.

“Jika gajah berada dalam sistem zoo, rutin pemakanan, penjagaan kesihatan oleh doktor veterinar dan pemantauan tingkah laku sepatutnya dilakukan secara berkala.

Iklan

“Justeru, persoalannya ialah bagaimana Kelat boleh mengalami penyusutan berat badan sedemikian?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Santharasekaran, laporan kesihatan berkala DAK seharusnya dikeluarkan oleh doktor veterinar yang mempunyai kepakaran dalam penjagaan dan kesihatan gajah, bukannya hanya bergantung kepada kenyataan pihak pengurusan.

Iklan

Beliau turut mendakwa terdapat beberapa faktor persekitaran di Zoo Tennoji yang perlu diberikan perhatian, termasuk ruang pergerakan, pemakanan, kebersihan air kolam dan keadaan cuaca.

“Keadaan cuaca termasuk musim sejuk yang bakal tiba juga perlu diberi perhatian kerana perubahan persekitaran boleh memberi kesan terhadap kebajikan haiwan yang ditempatkan dalam kurungan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Santharasekaran mendakwa Kelat menunjukkan beberapa ciri yang dikaitkan dengan fasa musth, termasuk rembesan cecair dari bahagian pelipis, perubahan tingkah laku serta kerap mengangkat kepala dan mengembangkan telinga.

Bagaimanapun, beliau menggesa keadaan Kelat dinilai oleh doktor veterinar yang berkelayakan bagi menentukan sama ada perubahan berkenaan merupakan sebahagian daripada proses fisiologi normal musth atau mempunyai kaitan dengan faktor kesihatan dan persekitaran.

Santharasekaran turut mempersoalkan sama ada kemudahan di Zoo Tennoji memenuhi keperluan habitat tiga ekor gajah berkenaan, termasuk aspek teduhan ketika cuaca panas.

Beliau berkata, terdapat visual yang tular menunjukkan Dara dan Amoi berada di sebalik tembok ketika cuaca panas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian persekitaran mereka.

Sehubungan itu, PERKAM mencadangkan satu badan bebas terdiri daripada doktor veterinar, aktivis gajah dan pihak berkepentingan dalam pemuliharaan hidupan liar diwujudkan bagi menilai keadaan sebenar DAK di Zoo Tennoji.

“Penilaian dan pemantauan pihak ketiga adalah cara terbaik bagi memastikan keadaan sebenar tiga ekor gajah kita di zoo tersebut dapat dikenal pasti berdasarkan bukti dan penilaian profesional.

“Rakyat Malaysia mahu kesejahteraan DAK terpelihara,” katanya.

Menurutnya, sekiranya hasil penilaian bebas membuktikan berlaku pengabaian kebajikan atau pembiakan secara paksa seperti yang didakwa, tindakan sewajarnya termasuk mempertimbangkan penghantaran pulang ketiga-tiga gajah berkenaan ke Malaysia perlu diberi perhatian.

DAK sebelum ini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun menerusi kerjasama pemindahan gajah antara Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan di Jepun.

PERKAM berkata, pemantauan berkala dan laporan veterinar yang telus penting bagi memastikan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan terus terpelihara sepanjang berada di luar negara.