Rahsia otak beradaptasi, pulih lebih pantas

Iklan
Bagi fasa pemulihan strok, tempoh enam bulan pertama merupakan jendela waktu yang paling kritikal. Gambar kecil: Nurulain

PESAKIT strok atau angin ahmar kebiasaannya akan berdepan dengan ujian fizikal yang amat berat merangkumi kelemahan anggota badan yang drastik seperti hilang kemahiran berjalan atau kesukaran menggunakan tangan untuk urusan asas. Selain kekangan fizikal, kemahiran berkomunikasi seperti keupayaan berfikir dengan jelas serta menjawab soalan juga sering terjejas dengan ketara.

Kekurangan kefungsian badan yang berlaku secara tiba tiba ini sebenarnya berpunca daripada gangguan saluran darah ke otak sama ada akibat saluran tersumbat atau pecah secara mengejut. Apabila bekalan darah ke otak terganggu oksigen tidak lagi sampai ke bahagian otak yang kritikal sekali gus menyebabkan bahagian yang mengawal fungsi motor dan kognitif badan mengalami kerosakan serius.

Iklan
Iklan

Bagi fasa pemulihan strok, tempoh enam bulan pertama merupakan jendela waktu yang paling kritikal untuk memulakan rawatan pemulihan secara agresif bagi mencapai tahap penyembuhan yang paling maksimum. Dalam tempoh emas ini, otak manusia mempunyai keupayaan yang dinamakan sebagai neuroplastisiti iaitu otak mampu membina rangkaian saraf baharu bagi menggantikan fungsi saraf bahagian yang telah rosak.

Kebiasaannya pesakit akan segera dirujuk ke bahagian terapi pemulihan yang merangkumi terapi cara kerja, fisioterapi, terapi pertuturan bahasa serta pemantauan daripada doktor pakar pemulihan. Melalui rawatan terapi yang dijalankan secara berkala dan berdisiplin pesakit berupaya mengembalikan kefungsian badan secara beransur-ansur mengikut tahap kerosakan otak yang dialami.

Iklan

Berdasarkan kajian terkini dalam American Journal of Occupational Therapy AJOT tahun 2024, pesakit yang rajin melakukan latihan pergerakan menggunakan objek sebenar dalam konteks kehidupan seharian menunjukkan peningkatan mendadak pada fungsi anggota badan atas seperti tangan dan lengan.

Kajian tersebut menekankan bahawa latihan yang bersifat fungsional jauh lebih berkesan berbanding senaman statik kerana ia melibatkan koordinasi otak dan otot secara serentak. Peningkatan ini bukan sahaja melibatkan aspek kekuatan fizikal malah memberikan impak besar kepada kualiti hidup pesakit secara keseluruhan kerana mereka mula merasakan kembali nikmat autonomi terhadap tubuh sendiri.

Iklan

Namun ahli keluarga perlu faham bahawa sokongan terbaik bukanlah dengan melakukan semua perkara bagi pihak pesakit, sebaliknya mereka perlu secara beransur-ansur mengurangkan bantuan yang diberikan. Memberikan peluang kepada pesakit strok untuk melakukan aktiviti harian seperti bergerak ke tandas,mandi, menukar pakaian dan makan secara mandiri adalah kunci utama untuk mengurangkan tahap kebergantungan diri mereka.

Apabila pesakit mula melakukan rutin harian secara berdikari mereka secara tidak langsung sedang menjalani latihan terapi semula jadi yang sangat berkesan bagi menggerakkan anggota badan yang lemah. Proses ini memaksa pesakit mengawal keseimbangan badan semasa bergerak serta melatih otak untuk berfikir dan beradaptasi dengan kelemahan kefungsian yang ada. Secara tidak langsung pesakit juga boleh meningkatkan tahap kekuatan dan ketahanan fizikal mental serta emosi mereka menerusi kejayaan kecil yang dicapai setiap hari. Semakin mandiri pesakit strok dalam menjalani rutin harian mereka maka semakin berkuranglah beban fizikal dan mental yang perlu dipikul oleh penjaga di rumah.

Latihan rutin harian ini sebenarnya membantu pesakit strok untuk segera berpindah ke fasa pemulihan yang lebih mencabar iaitu kembali menjalankan peranan sosial asal mereka. Dengan menggalakkan pesakit strok untuk segera mandiri dan beradaptasi dalam menjalani rutin harian ia membantu mempercepatkan proses penyembuhan neuroplastisiti otak dengan lebih berkesan. Namun perlu diingatkan bahawa semasa melakukan rutin harian di rumah pemantauan yang teliti masih diperlukan bagi memastikan tahap keselamatan pesakit sentiasa terjaga dan mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini seperti jatuh atau cedera.

Statistik menunjukkan bahawa hampir 50 peratus daripada kejayaan pemulihan strok bergantung kepada kegigihan pesakit melakukan latihan di luar waktu hospital. Jika pesakit hanya melakukan latihan selama 1 jam di pusat pemulihan tetapi bersifat pasif selama 23 jam lagi di rumah maka proses penyembuhan akan menjadi sangat perlahan dan membantutkan potensi sebenar otak untuk pulih. Oleh itu konsep integrasi latihan dalam rutin harian perlu dijadikan budaya dalam setiap keluarga yang menguruskan pesakit strok.

Setiap pergerakan kecil seperti memegang cawan menyikat rambut atau butang baju sebenarnya adalah isyarat elektrik yang dihantar ke otak untuk memberitahu bahawa bahagian badan tersebut masih berfungsi. Semakin banyak isyarat ini dihantar semakin cepat otak akan membina jalan pintas saraf yang baharu untuk mengawal pergerakan tersebut. Inilah keajaiban tubuh manusia yang memerlukan kerjasama erat antara kehendak pesakit dan kesabaran penjaga untuk melihat hasilnya dalam jangka masa panjang.

Rawatan pemulihan strok bukanlah satu larian pecut sebaliknya ia adalah satu maraton yang menuntut ketabahan yang luar biasa daripada semua pihak yang terlibat dalam rantaian penjagaan kesihatan pesakit.

Proses pemulihan strok yang berkesan adalah bermula dengan kesedaran diri pesakit itu sendiri yang disokong oleh kepakaran perawat kesihatan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga. Janganlah kita memandang remeh terhadap setitik usaha dalam rutin harian kerana di sebalik setiap pergerakan yang dilakukan tersimpan potensi besar untuk otak beradaptasi dan pulih semula. Ingatlah bahawa strok mungkin meragut sebahagian daripada fungsi badan kita buat seketika namun dengan latihan yang konsisten dan semangat yang kental kita mampu merebut kembali kualiti hidup yang hilang. Transformasi daripada seorang pesakit yang terlantar kepada seorang insan yang mandiri adalah satu kemenangan besar yang bermula dengan langkah kecil di dalam rumah sendiri setiap hari.

*Nurulain Abd Ghafar ialah Pegawai Pemulihan Perubatan (Cara Kerja) di Unit Pemulihan Cara Kerja, Jabatan Perubatan Pemulihan, Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM (HASA)