MIHAS 2026 catat lonjakan bermakna

Iklan
Reezal Merican ketika sesi lawatan ke reruai pameran MIHAS 2026 pada hari kedua bertempat di Aras 2 MITEC, di sini pada Khamis.

Reezal Merican ketika sesi lawatan ke reruai pameran MIHAS 2026 pada hari kedua bertempat di Aras 2 MITEC, di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang memasuki tahun ke-22 mencatatkan lonjakan bermakna sejak penubuhannya pada 2004.

Iklan
Iklan

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perubahan berkenaan dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah penyertaan pempamer, pembukaan reruai serta penglibatan pemain industri halal tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau, cetusan idea daripada bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi itu terbukti berkesan apabila industri halal Malaysia semakin mendapat pengiktirafan, termasuk di peringkat global.

Iklan

"Alhamdulillah MIHAS sudah memasuki tahun penganjuran ke-22, satu perjalanan yang amat panjang sejak diperkenalkan pada 2004.

"Cetusan idea daripada Allahyarham Tun Abdullah. Beliau yang berpandangan jauh melihat halal bakal berkembang satu hari nanti menjadi industri yang diiktiraf di seluruh dunia dan ia terbukti hari ini.

Iklan

"Kita dapat lihat MIHAS yang dahulunya cuma mendirikan sekitar 500 reruai pameran dengan RM350 juta jualan, kini mempunyai lebih 2,000 reruai dan janaan pendapatan hampir RM5 bilion pada MIHAS ke-21," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan ke reruai pavilion tempatan dan antarabangsa pada hari kedua MIHAS 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Khamis.

Reezal (dua dari kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee (paling kiri) sewaktu berkunjung ke Pavilion UniMAIWP.

Sesi berkenaan turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UniMAIWP), Profesor Dr Mohd Afandi Salleh.

Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, penambahan jumlah penyertaan dalam industri halal sememangnya satu perkembangan yang wajar diraikan dan dibanggakan oleh pemain industri perdagangan luar di bawah MATRADE.

"Bagi kami, jenama MIHAS sudah dikenali di seluruh dunia dan berada pada tahap yang cukup berprestij.

"Ditambah pula, MIHAS pernah meraih pengiktirafan Guinness World Record sebagai Pameran Perdagangan Halal Dengan Kehadiran Terbanyak, melebihi 38,000 pengunjung pada 2023 dengan jualan mencecah RM4.3 bilion," ujarnya.

MIHAS membuka tirai dari 23 hingga 26 September menerusi program utamanya, 'International Sourcing Programme' (INSP) yang menghubungkan kira-kira 450 pembeli antarabangsa dengan 600 pengeksport Malaysia.

Program berkenaan memudah cara lebih 4,000 pertemuan perniagaan yang dijadualkan antara pengeksport tempatan dan pembeli antarabangsa dari 58 ekonomi, termasuk 50 pembeli premium terdiri daripada pelbagai syarikat global terkemuka.

Berlangsung selama empat hari, MIHAS 2026 dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dari 45 negara serta menghimpunkan 1,700 syarikat, 2,400 reruai dan menyasarkan jualan melebihi RM5 bilion.

Dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan seliaan MATRADE, acara berkenaan menghimpunkan pemain industri halal tempatan serta antarabangsa di bawah satu bumbung.