KUALA LUMPUR - Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh berhubung insiden beberapa penunggang motosikal terbabas di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Klang, semalam.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata siasatan itu, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tanpa membuat sebarang kesimpulan awal, termasuk meneliti tahap rintangan gelincir permukaan ketika basah, keadaan turapan serta kemungkinan wujudnya pencemaran minyak atau diesel.
"Saya ingin merakamkan rasa simpati kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Klang semalam.
"Sudah tentu kejadian seperti ini bukan sesuatu yang kita mahu berlaku dan aspek keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kita,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X hari ini.
Nanta berkata berdasarkan maklumat awal, bahagian permukaan berwarna di laluan itu sememangnya direka dan dilaksanakan sebagai kemasan antigelincir, mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.
"Namun begitu, ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan dilaporkan sedikit basah. Kita juga dimaklumkan bahawa beberapa penunggang motosikal telah terbabas di lokasi yang sama,” katanya.
Beliau berkata JKR mengambil tindakan awal di lokasi kejadian dengan menampal sementara kerosakan turapan, memasang papan tanda"KURANGKAN LAJU”, serta menjalankan ujian skid dalam keadaan kering dan basah, bagi mengesahkan prestasi sebenar permukaan berkenaan.
Nanta berkata kerja-kerja penambahbaikan merangkumi mill and pave serta pemasangan papan tanda had laju panduan 40 kilometer sejam (km/j), akan dilaksanakan di lokasi berkenaan.
"Apa yang penting, kita akan mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kelemahan pada bahan, pelaksanaan kerja, reka bentuk atau aspek penyelenggaraan, kita akan ambil tindakan pembetulan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari, sentiasa diberi keutamaan.
Semalam, tular di media sosial rakaman beberapa penunggang motosikal didakwa terjatuh, ketika melalui laluan berwarna hijau yang basah di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan.
Menerusi video berdurasi 42 saat itu, terdapat beberapa motosikal bergelimpangan di atas laluan itu, selain beberapa penunggang dilihat berada di tepi jalan tersebut. - Bernama