Suri rumah OKU ditemui mati dengan kesan tikaman

Iklan
Nur Halim

KUALA KANGSAR - Seorang suri rumah Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, di sini pada Rabu.

Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung berkenaan yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke rumah mangsa kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan tidak bergerak, selain terdapat kesan kecederaan serta pendarahan pada bahagian betis.

Iklan

"Saya dimaklumkan suami mangsa meminta pertolongan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah di kawasan berhampiran sebelum individu berkenaan menghubungi saya.

"Saya kemudian datang ke rumah dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Suaminya memberitahu, isterinya sempat mengatakan kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bahagian bawah rumah melalui celahan papan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Iklan

Nur Halim berkata, ketika kejadian suami mangsa berada di rumah dan mendakwa sedang memasak sebelum mendengar isterinya meminta pertolongan.

Nur Halim

Katanya, seorang daripada tiga anak mangsa pada ketika itu tiada di rumah dan penduduk kampung kemudiannya membantu mencarinya sebelum berjaya menemui remaja berusia 15 tahun itu di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sekolah.

"Penduduk memujuk anak mangsa untuk pulang ke rumah sebelum dia dibawa berjumpa ibunya. Polis yang tiba kemudian turut menjalankan pemeriksaan dan soal siasat.

"Polis turut menemui sebilah pisau di kawasan kebun kelapa sawit selepas anak mangsa menunjukkan lokasi berkenaan," katanya.

Menurut Nur Halim, mangsa dan keluarganya sudah lama menetap di rumah berkenaan yang merupakan kediaman keluarga sebelah suaminya.

Katanya, selain mangsa, suami serta ketiga-tiga anak mereka juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala ketiga-tiga anak mangsa mempunyai kategori OKU berbeza.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Suliana Jalaluddin, 37, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 2.16 petang selepas menerima mesej daripada abangnya yang juga suami mangsa menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

"Hubungan arwah, suami dan tiga anak mereka memang rapat. Arwah merupakan OKU, begitu juga ketiga-tiga anak mereka.

"Anak sulung berusia 17 tahun merupakan OKU fizikal akibat kecederaan terbakar yang dialami sebelum ini, manakala dua lagi anak termasuk yang dikaitkan dengan kejadian ini adalah OKU pembelajaran," katanya.

Difahamkan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun ketika dihubungi media memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung kejadian selepas siasatan dijalankan.