SHAH ALAM - Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 24 September hingga 30 September 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5.05 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.57 seliter dan diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.
Menurutnya, kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.
"Pemulihan kapasiti penapisan global adalah penting bagi penyederhanaan harga produk petroleum. Pada masa sama, pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.
"Namun begitu, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik harga produk petroleum dalam jangka sederhana. Risiko konflik juga telah meningkatkan kos penghantaran minyak dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
Jelas MoF, menerusi BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
"Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
"Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin," jelasnya.