Melaka kembali ke gelanggang PRN

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pengumuman dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang akhbar khas di Seri Negeri pada Selasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Iklan
Iklan

Pembubaran itu menamatkan penggal DUN Melaka ke-15 yang dibentuk menerusi PRN pada 20 November 2021 dan membawa negeri berkenaan sekali lagi memasuki gelanggang pilihan raya.

Proklamasi pembubaran DUN turut diserahkan kepada Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka, Rudy Rohan Johan bagi membolehkan proses berkaitan PRN dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Iklan

Apa yang menarik perhatian kali ini bukan sekadar bila rakyat Melaka akan keluar mengundi, tetapi bagaimana percaturan parti politik bakal dibentuk selepas landskap politik negara berubah sejak PRN 2021.

Empat tahun lalu, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Iklan

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.

Keputusan itu memberikan BN majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.

Namun, PRN kali ini berlangsung dalam persekitaran politik berbeza berbanding 2021.

Hubungan antara parti, bentuk kerjasama dan strategi pembahagian kerusi menjadi antara perkara yang akan diperhatikan menjelang hari penamaan calon.

Persoalan mengenai sama ada BN akan bergerak sendiri atau menjalinkan kerjasama politik juga masih belum dimuktamadkan.

Ab Rauf pada Selasa dilaporkan berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas proses rundingan selesai.

Sebelum ini, beliau menegaskan BN Melaka mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu dan menjadikan perkara tersebut sebagai asas dalam sebarang perbincangan kerjasama.

Justeru, rundingan kerusi dan pemilihan calon dijangka menjadi antara perkembangan penting untuk diperhatikan apabila parti-parti mula menyusun strategi masing-masing.

Bagi PH dan PN pula, PRN kali ini menjadi medan untuk mempertahankan kerusi sedia ada serta menguji sokongan pengundi selepas perubahan politik di peringkat negeri dan Persekutuan sejak 2021.

Pembubaran DUN sebenarnya sudah mula menjadi teka-teki sejak beberapa minggu lalu.

Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan mengenai tempoh pembubaran menerusi ungkapan ‘dari Jumaat ke Jumaat’, namun pada 17 September beliau menjelaskan tarikh sebenar masih belum ditetapkan kerana beberapa urusan pentadbiran negeri perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kini teka-teki itu sudah terjawab.

Selepas pembubaran berkuat kuasa pada 23 September, perhatian seterusnya terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh-tarikh penting termasuk penamaan calon dan hari pengundian.

Dalam tempoh berkenaan, pentadbiran negeri akan diteruskan sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya.

Ab Rauf turut memberi jaminan urusan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Apa yang pasti, pembubaran DUN membuka lembaran baharu politik Melaka.

BN memasuki PRN dengan rekod 21 kerusi pada pilihan raya lalu, manakala PH dan PN masing-masing mempunyai kedudukan tersendiri untuk dipertahankan atau diperluaskan.

Siapa bertanding di mana, bagaimana formula kerjasama dibentuk dan calon yang diketengahkan bakal menjadi antara persoalan utama selepas ini.

Akhirnya, komposisi 28 kerusi DUN Melaka bagi penggal baharu akan ditentukan pengundi apabila mereka sekali lagi diberi mandat memilih wakil serta menentukan pembentukan kerajaan negeri.