KUALA LUMPUR - Dua individu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri ditahan polis pada Selasa.
Mereka ialah Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Kes itu disiasat oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman.
Sinar Harian difahamkan kedua-dua individu itu akan direman pada Rabu di Lokap Jinjang, Kuala Lumpur.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada Polis Diraja Malaysia.
Media sebelum itu melaporkan kenyataan pengasas bersama Mandiri, Mohammad Alshatri Abdullah bahawa kedua-dua individu terbabit ditahan selepas hadir ke balai polis untuk memberi keterangan.
Kedua-dua individu tersebut sebelum ini dilarang ke luar negara selain akaun bank mereka dibekukan.