‘Almari bergegar, kerusi bergetar’ - Penduduk Segamat turut rasai gegaran gempa bumi

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 di Perairan Batu Pahat pada petang Selasa. Gambar kecil: Ahmad Asri

SEGAMAT - Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang dikesan berlaku di Perairan Batu Pahat pada petang Selasa turut dirasai penduduk di beberapa kawasan di daerah ini.

Penduduk Kampung Tengah, Ahmad Asri Talib, 53, berkata, gegaran pada jam 4.55 petang itu antara kejadian gempa yang dirasainya selepas gempa pertama bermagnitud 4.1 melanda daerah berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Tiba-tiba rasa gegaran di kaki. Anak saya yang berada di dalam rumah pun terkejut dan beritahu memang terasa gegar dalam tiga hingga empat saat.

“Ketika itu saya baru sampai dari tempat kerja dan berada di luar rumah.

Iklan

"Penduduk lain turut berkongsi pengalaman sama dalam kumpulan WhatsApp selepas merasai gegaran itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, pesara, Amran Jaffar, 57, berkata, gegaran dirasai ketika dia bersama keluarga di rumah di Jalan Temenggong Segamat.

Iklan

“Waktu itu saya sedang baring dalam bilik dan lihat almari bergegar dan isteri beritahu rasa kerusi bergegar.

“Gegaran itu berlaku kira-kira tiga hingga empat saat,” katanya.

Kejadian itu mengimbau kembali gempa bumi bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat pada 24 Ogos 2025, kira-kira jam 6.13 pagi, dengan pusat gempa dikesan lima kilometer (km) barat Segamat pada kedalaman 10km.

Gegaran ketika itu turut dirasai di beberapa kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang, sebelum beberapa gegaran susulan direkodkan iaitu bermagnitud 2.8 pada 24 Ogos, 3.2 (27 Ogos), 2.5 (28 Ogos) dan 3.4 (29 Ogos) tahun lalu.