BATU PAHAT - “Rumah rasa bergoyang-goyang dan kemudian terdengar bunyi dentuman kuat.”
Demikian pengalaman penduduk Tongkang Pechah, Raja Fatimah Raja Rahim, 36, ketika merasai gegaran gempa bumi bermagnitud 4.4 yang melanda Perairan Batu Pahat pada jam 4.55 petang Selasa.
Menurutnya, kejadian ketika sedang berehat di rumah itu mengejutkannya kerana pertama kali merasai gegaran berkenaan.
“Anak-anak saya yang berada di sekolah juga dibenarkan pulang lebih awal sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 melanda Perairan Batu Pahat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) dengan gegaran turut dirasai di Batu Pahat dan kawasan sekitarnya.
Seorang lagi penduduk, Sa’diah Markom, 53, dari Kampung Sri Medan berkata, gegaran yang dirasainya hanya berlaku beberapa saat, namun cukup membuatkannya terkejut.
Menurutnya, dia tidak mengalami pening atau hilang keseimbangan ketika kejadian, sebaliknya bimbang kerana tidak pernah berdepan situasi sedemikian sebelum ini.
“Saya tak rasa pening atau terhoyong-hayang tapi memang terkejut sebab tak pernah rasa gegaran gempa bumi.
“Walaupun tak seteruk kejadian gempa bumi di luar negara, situasi ini tetap membimbangkan. Bagi saya, ini seperti satu ujian atau peringatan untuk kita semua,” ujarnya.