‘UMNO terpalit krisis istana: Akmal hipokrit, dwistandard' - Sivamalar

Iklan
G Sivamalar dan Dr Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berhubung pendiriannya mengenai perkembangan krisis membabitkan institusi Diraja di Negeri Sembilan ketika beliau lantang mengkritik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung syarat pemilikan ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS).

Timbalan Setiausaha Agung merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, kritikan Akmal terhadap keputusan KPM yang tidak lagi menetapkan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS tertentu, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memainkan sentimen perkauman.

Iklan
Iklan

"Komen Dr Akmal terhadap keputusan Kementerian Pendidikan sekali lagi memperlihatkan sikap hipokrit dan memutarbelitkan isu demi publisiti politik murahan.

"Keputusan tersebut sama sekali tidak menghapuskan hak istimewa Bumiputera, sebaliknya hanya melibatkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan Institusi swasta tertentu," katanya kepada media pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, kritikan Akmal mengenai isu IPS hadir ketika beliau mempersoalkan percanggahan kenyataan KPM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai dasar ekuiti Bumiputera.

KPM pada awalnya menyatakan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera yang terkandung dalam Buku Pernyataan Dasar IPS 2006 tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.

Iklan

Perkembangan itu bagaimanapun kini turut menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa kementerian selepas MITI menjelaskan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah Kementerian Ekonomi.

KPM pada Isnin memaklumkan keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan dengan bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan kekal terbuka kepada semua pihak.

Bagaimanapun, MITI pada Selasa menjelaskan bahawa kementerian berkenaan tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan tersebut dan menegaskan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini mempersoalkan percanggahan kenyataan berkenaan menerusi hantaran di media sosial dengan menyatakan, 'KPM cakap dan bincang dengan MITI. MITI maklum tidak tahu tentang isu ni. Jadi siapa yang menipu? Tahniah Madani.'

Mengulas lanjut, Sivamalar mendakwa pada masa sama Akmal tidak memberikan kenyataan berhubung kemelut politik di Negeri Sembilan yang turut menyentuh kedudukan institusi Diraja negeri itu.

Beliau mempersoalkan sama ada pendirian yang sama akan ditunjukkan apabila isu membabitkan kepimpinan UMNO dan institusi Diraja Negeri Sembilan berlaku.

"Ketika UMNO Negeri Sembilan mengheret Istana Seri Menanti dan institusi diraja ke dalam sandiwara politik mereka, Kerajaan Madani kekal menumpukan perhatian terhadap usaha menyelesaikan masalah rakyat.

"Jangan jadikan pendidikan sebagai modal politik baharu untuk mengalih perhatian daripada kekacauan yang dicetuskan oleh parti sendiri di Negeri Sembilan," katanya.

Kontroversi berkenaan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum ini menyaksikan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan perkara berkaitan pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar terletak dalam bidang kuasa DKU seperti diperuntukkan Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Portal rasmi Kerajaan Negeri Sembilan turut merekodkan struktur institusi Undang dan Tunku Besar Tampin sebagai sebahagian daripada sistem pentadbiran berasaskan Adat Perpatih negeri itu.

Sivamalar berkata, Akmal sewajarnya memberikan perhatian terhadap isu berkenaan sekiranya beliau mahu membawa suara berkaitan kepentingan Melayu dan institusi Raja.

"Jika Akmal benar-benar mahu tampil sebagai pejuang Melayu, suaranya sepatutnya kedengaran apabila tindakan kepimpinan UMNO tidak menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri dan Institusi Raja di Negeri Sembilan," katanya.