1,338 premis di Kuantan, Temerloh gagal kosong tangki septik

Iklan
Ainal Yusman melakukan pemeriksaan secara teliti di bahagian perangkap minyak dan perangkap sisa di bawah sinki dapur sebuah premis komersial semasa Ops Tok Gajah.

KUANTAN - Sebanyak 1,338 premis di Kuantan dan Temerloh gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, jumlah itu membabitkan 54 premis komersial dan 1,284 premis domestik yang dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, Ops Tok Gajah yang dilaksanakan bersama IWK bermula 21 hingga 26 September ini membabitkan premis yang gagal mematuhi notis berkenaan.

"Kita mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis pematuhan bagi pengosongan tangki septik terhadap pemilik atau penghuni yang didapati tidak mematuhi notis pemberitahuan yang dikeluarkan IWK," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan terhadap premis yang tidak menjalankan pengosongan tangki septik secara berjadual di sekitar Taman Tas di sini pada Selasa.

Petugas IWK bersama pegawal penguat kuasa SPAN memantau proses penyedutan enap cemar menggunakan trak tangki IWK sewaktu operasi penguatkuasaan dijalankan.

Iklan

Mengulas lanjut, Ainal Yusman berkata, tangki septik mempunyai ruang simpanan yang terhad dan direka untuk menerima air kumbahan daripada tandas, bilik mandi, dapur serta mesin basuh.

“Jika pepejal yang mendap di dasar tangki tidak dikeluarkan secara berjadual, air kumbahan dari premis boleh melimpah keluar lalu mencemari parit atau longkang.

“Semua pemilik atau penghuni yang mempunyai tangki septik individu sama ada premis domestik, komersial, termasuk jugalah premis kerajaan juga perlu mengosongkan tangki septik.

"Ia perlu dilakukan setiap dua tahun sekali di dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau tiga tahun sekali di luar kawasan pentadbiran PBT.” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem berkenaan dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan nyah enap cemar pada tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, jika seseorang yang melanggar subseksyen berkenaan melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak lebih RM50,000.

Petugas IWK sedang melakukan proses penyedutan di sebuah premis perniagaan di Taman Tas.

"Sementara itu, Seksyen 66(1)(a) Akta sama memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik yang bertanggungjawab bagi sistem pembetungan persendirian yang menjadi begitu kotor sehingga menjadi kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan.

"Jika disabitkan, pemilik berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," jelas beliau lagi.

Ditanya mengenai tahap kesedaran pemilik tangki septik, Ainal Yusman memaklumkan berkata perkara itu sukar dijelaskan, namun IWK telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi kempen kesedaran berkaitan pengosongan tangki septik.

“Masih lagi orang kata kesedaran rakyat tu ataupun pengguna tu masih lagi di tahap yang agak rendahlah,” katanya.