'BN Melaka gerak solo, itu kita putuskan nanti' - Ab Rauf

Iklan
Ab Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Seri Negari pada Selasa.

MELAKA - Status sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo atau menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan kemudian, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, buat masa ini tumpuan diberikan kepada pasca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum hala tuju kerjasama politik BN ditentukan.

Iklan
Iklan

Ab Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa Rabu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka,Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau turut menyerahkan Warkah Proklamasi Pembubaran DUN kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka, Rudy Rohan Johan sejurus pengumuman berkenaan.

Iklan

Mengulas mengenai kerjasama strategik atau formula BN Plus, Ab Rauf berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan parti yang berminat selepas proses pembubaran DUN selesai.

"Kita selesaikan yang ini dulu (pasca pembubaran DUN). Lepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.

Iklan

"Saya pastinya akan ada rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan akan menilai perbincangan itu serta tawaran yang diberikan," katanya.

Ab Rauf menyerahkan Warkah Proklamasi Pembubaran DUN kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka, Rudy Rohan Johan, sejurus pengumuman berkenaan di Seri Negeri.

Katanya, pertimbangan utama dalam menentukan hala tuju kerjasama berkenaan adalah kepentingan rakyat dan pentadbiran negeri.

"Yang paling utama bukan untuk kepentingan saya, tetapi bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat dan untuk rakyat," katanya.

Selasa lalu, Ab Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa Rabu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.

Sebelum ini, Ab Rauf memaklumkan BN akan menilai tawaran daripada parti yang berminat untuk menjadi rakan strategik, manakala rundingan hanya akan dibuat selepas pembubaran DUN.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.