PRN Melaka: Tujuh kerusi untuk PN?

Iklan
Mohd Syahir

KOTA BHARU - Dakwaan Perikatan Nasional (PN) bakal diberikan hanya tujuh kerusi dalam rundingan pembahagian kerusi bersama UMNO bukan angka muktamad kerana segala perkara masih perlu diputuskan di meja rundingan kata Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Menurut beliau, angka tujuh, 10, 20 atau mana-mana jumlah kerusi yang disebut itu hanyalah andaian dan tawaran awal sebelum rundingan rasmi dimulakan.

Iklan
Iklan

"Memang kebiasaannya sebelum rundingan itu masing-masing akan bercakap, meletakkan harga yang 'tinggi'.

"Jadi apabila duduk di meja rundingan, kita akan lihat bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita menguruskan perbezaan dan pastinya akan ada kompromi sedikit sebanyak.

Iklan

"Natijahnya kita harapkan yang terbaik bagi semua pihak," katanya ketika ditemui di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa PN akan diberikan hanya tujuh kerusi sekiranya kerjasama dengan UMNO dimeterai bagi menghadapi PRN Melaka.

Iklan

Terdahulu media melaporkan rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka antara parti komponen PN terhad kepada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gabungan parti diketuai Pas itu kini cenderung kepada baki tujuh kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN), sekiranya persefahaman politik mencapai kata putus yang positif.

Mengulas sama ada kerjasama masih perlu diteruskan sekiranya tawaran kepada PN hanya melibatkan tujuh kerusi, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

Menurut beliau, jumlah kerusi yang akan diperuntukkan tidak wajar dijadikan keputusan awal kerana rundingan sebenar belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Syahir menyifatkan rundingan antara Pas dan UMNO sebagai sangat positif, selari dengan semangat Penyatuan Ummah yang semakin mendapat perhatian kedua-dua parti.

Beliau berkata, sentimen akar umbi serta rakyat secara keseluruhannya menunjukkan wujud kehendak supaya parti-parti Melayu membentuk satu bentuk penyatuan dan kerjasama.

"Sebagaimana yang Tuan Guru Presiden sebut, memang sangat positiflah.

"Pastinya di atas semangat Penyatuan Ummah di peringkat Pas dan juga UMNO yang disambut oleh akar umbi.

"Kita melihat sekarang ini sentimen akar umbi, sentimen rakyat secara keseluruhannya, orang Melayu mahukan satu bentuk penyatuan dan kerjasama.

"Menjadi satu tanggungjawab kepada pihak-pihak yang berunding itu untuk mendapat satu natijah hasil rundingan yang baik," katanya.