SHAH ALAM - Aspek keselamatan dan risikan selain tindakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan bagi mengenal pasti sebarang risiko dalam penjara.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum laporan media serta kenyataan yang menyentuh mengenai keadaan dan operasi di institusi penjara.
Menurut kenyataan itu, jabatan menegaskan bahawa aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan prospek sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan institusi penjara di seluruh negara.
"Jabatan Penjara Malaysia sentiasa melaksanakan operasi berdasarkan SOP yang ketat dan ditetapkan termasuk aspek kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan serta tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
"Selain itu, jabatan turut melaksanakan aktiviti perisikan, pemantauan dan semakan secara berterusan berkaitan aspek keselamatan dan pematuhan peraturan di institusi penjara bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan serta membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil dengan sewajarnya," kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, Jabatan Penjara Malaysia tidak menafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi.
Bagaimanapun, jelas kenyataan itu, setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP yang berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara.
"Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke dalam institusi penjara hendaklah dilaporkan kepada pihak polis atau saluran rasmi yang berkaitan bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa terbuka terhadap sebarang maklumat yang boleh membantu memperkukuh sistem keselamatan dan pengurusan penjara.
"Pada masa yang sama, sebarang dakwaan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sewajarnya supaya ia dapat disahkan dan ditangani berdasarkan fakta serta bukti.
"Orang awam juga disarankan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem pemasyarakatan negara," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, pihak jabatan sentiasa memperkemas dan menambah baik SOP, kawalan keselamatan, perisikan serta mekanisme pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan institusi penjara kekal selamat, terkawal dan kondusif, selaras dengan aspirasi Jabatan sebagai 'Peneraju Perkhidmatan Korektif yang berintegriti profesional dan berteraskan pemulihan.
Pada Isnin Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.
Yasin menerusi satu podcast mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh.