SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan gagasan perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkembangan politik di Melaka kini membuka ruang kepada usaha merealisasikan semula gagasan berkenaan.
Iklan
Iklan
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini dilapor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa Rabu, bagi memberi laluan kepada PRN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu memaklumkan, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN Melaka serta memohon perkenan untuk pembubaran berkenaan.
Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.
Ahmad Fadhli sebelum ini turut menyifatkan penyatuan ummah sebagai satu gagasan penting dalam menghadapi pilihan raya, selain mendakwa kerjasama berkenaan mampu memberi cabaran kepada PH.
Pada 31 Mei lalu, beliau turut berpandangan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang susulan hubungan antara kedua-dua parti yang didakwanya semakin sukar dipertahankan.