GEORGE TOWN – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selama ini berjalan dengan baik dan konstruktif.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Datuk Rashidi Zinol berkata, sepanjang tiga tahun menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, beliau tidak pernah menghadapi sebarang masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan serta rakan-rakan daripada PKR dan DAP di negeri itu.
Menurutnya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik selain mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
“Perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk bekerjasama apabila matlamat utama kita adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan rakyat mendapat manfaat.
“Saya juga berpandangan bahawa kerjasama yang telah dibina di Pulau Pinang sejak pilihan raya negeri (PRN) 2023 merupakan satu bentuk persefahaman politik yang perlu dihargai dan diperkukuhkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rashidi berkata, keputusan PH Pulau Pinang untuk mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang turut mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama berkenaan.
Pada 8 Ogos lalu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan keputusan gabungan itu untuk mengekalkan Rashidi sebagai Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga PRU akan datang, selaras dengan persefahaman kerjasama yang terjalin pada PRN 2023.
Menurut Kon Yeow, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Rashidi dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika PRN 2023.
Dalam pada itu, Rashidi berkata, beliau turut menyokong pendirian di peringkat pusat supaya Kerajaan Perpaduan terus dipertahankan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar serta membolehkan kerajaan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, tetapi mengenai kemampuan kita untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.
“Kerjasama yang baik perlu diteruskan. Perbezaan boleh diraikan, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” katanya.
Beliau turut berharap semangat kerjasama dan persefahaman antara PH dan BN di Pulau Pinang akan terus dipelihara demi kestabilan negeri serta kesejahteraan seluruh rakyat.