Tiga pelakon ditahan, polis buru individu tular video persendakan Rukun Negara

Iklan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar (kanan) ketika sidang media Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0 di Bukit Aman hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung penularan video pementasan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta mengandungi unsur menyentuh sensitiviti kaum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan mendapati pementasan berkenaan berlangsung pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (PenangPAC), Pulau Pinang, namun hanya tular baru-baru ini selepas rakamannya dimuat naik semula di media sosial.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam persembahan itu, tiga individu telah ditahan untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, tiga telah ditahan bagi membantu siasatan. Seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya kepada media selepas sidang media Ops Pedo 3.0 di Bukit Aman pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pementasan berdurasi kira-kira 10 minit itu dipercayai diadakan secara tertutup dan tidak menerima sebarang laporan polis ketika ia dipersembahkan lapan tahun lalu.

Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan

Dalam masa sama, polis turut memberi tumpuan untuk mengesan individu yang menularkan rakaman berkenaan di media sosial.

“Hasil semakan terhadap telefon bimbit dan peranti milik individu yang ditahan tidak menemukan sebarang rakaman atau kandungan pementasan tersebut.

“Sebab itu kita sedang mengesan individu yang memuat naik dan menularkan video berkenaan kerana rakaman itu tidak ditemukan dalam simpanan mereka,” katanya.

M. Kumar berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, dengan tangkapan dilakukan di beberapa lokasi di Selangor dan Johor.

Beliau menambah, siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti latar belakang penganjuran persembahan berkenaan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Terdahulu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kes berkenaan selepas satu laporan polis dibuat susulan penularan video yang memaparkan lima pelakon membaca prinsip-prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dengan sindiran serta kenyataan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Semakan awal polis mendapati rakaman itu dipercayai daripada sebuah pementasan teater yang dipersembahkan pada 2018 sebelum dimuat naik semula sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini. - Awani