Op Pedo 3.0: Guru, remaja usia 13 tahun antara 53 individu ditahan

Iklan
M Kumar. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.

KUALA LUMPUR – Seramai lapan remaja antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun antara lapan individu bawah umur ditahan dalam operasi tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati ada di antara remaja tersebut berperanan menghasilkan kandungan berunsur seksual dalam bentuk animasi untuk dijual secara dalam talian.

"Remaja terbabit berinteraksi dalam komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, kandungan berkenaan dijual kepada umum melalui komuniti dalam talian, dengan pembayaran dibuat menerusi pelbagai kaedah termasuk e-dompet dan PayPal.

"Julat harga ditawarkan sekitar RM50 hingga RM60. Nilainya mungkin tidak besar, namun yang lebih membimbangkan ialah trend dan hala tuju kegiatan itu. Perkara inilah yang perlu diberi perhatian serius," katanya.

Iklan

Kumar berkata, operasi itu membabitkan 92 sasaran, dengan 52 serbuan berjaya dijalankan manakala 40 lagi tidak membawa kepada tangkapan.

"Daripada 53 tangkapan itu, 52 adalah warganegara tempatan dan seorang warga Bangladesh, manakala 51 lelaki dan dua perempuan," katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu turut menemukan 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak dan 113,066 fail pornografi dewasa.

“Sebanyak 52 kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penapisan Filem 2002.

“Setakat 21 September, sebanyak 23 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah dengan 11 daripadanya telah dijatuhkan hukuman, manakala 29 lagi masih dalam peringkat siasatan lanjut pihak berkuasa,” katanya.

M Kumar berkata, dua penjawat awam turut ditahan, masing-masing seorang guru dan seorang pembantu makmal sekolah, namun kesemua individu tidak mempunyai kaitan dengan lapan kanak-kanak yang ditahan dalam operasi itu.

"Ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa mengawasi aktiviti digital anak-anak mereka bermula dari rumah memandangkan pendekatan undang-undang semata-mata tidak memadai tanpa disokong oleh kesedaran moral yang berterusan," ujarnya.