KAJANG - Memasuki hari kelima pada Selasa, masih tiada tanda pergerakan keluar Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Tinjauan Sinar Harian setakat jam 1 tengah hari mendapati pekarangan hadapan Penjara Kajang tenang dan terkawal.
Tiada pergerakan orang kenamaan, namun hanya terdapat pergerakan harian kenderaan logistik dan kakitangan Jabatan Penjara keluar masuk.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, setakat hari ini bayaran denda sebanyak RM50 juta membabitkan bekas Perdana Menteri itu sebelum beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah secara bersyarat, masih belum dilunaskan.
"Jabatan Penjara juga dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah beliau (Najib). SOP ini memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan," katanya pada Selasa.
Perkembangan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak hanya dimaklumkan pada Sabtu lepas oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa jumlahnya sudah mencecah RM1 juta.
Namun, setakat Selasa, jumlah terkini masih menjadi teka-teki.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Sabitan yang sedang dijalani beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, manakala kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses perbicaraan dan rayuan.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat lepas.