GEORGE TOWN – Seorang pekerja warga Myanmar ditemui maut di sebuah tapak pembinaan kondominium di Lorong Perak, Jelutong pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa berusia 31 tahun ditemukan terbaring di tingkat 20 bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu pada jam berkenaan sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan tapak pembinaan sebuah bangunan kondominium setinggi 25 tingkat di Jelutong.
“Mangsa yang juga pekerja di tapak pembinaan berkenaan dipercayai terjatuh dari tingkat 25 ketika sedang menjalankan kerja pemasangan papan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap badan mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.