MELAKA – Beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dalam menanggung kos pendidikan anak sedikit terubat apabila mereka menerima Biasiswa Anak eKasih (BAeK) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagi pengawal keselamatan, Rosman Amsan, anaknya, Muhammad Denial Irfan, 18, yang sebelum ini bekerja sambilan pada hujung minggu untuk membantu menampung keperluan pengajian, kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
Rosman berkata, pendapatan sebagai pengawal keselamatan sekadar mencukupi untuk keperluan harian keluarga yang mempunyai lima orang anak.
“Biasiswa ini sangat membantu untuk mengurangkan beban saya dan menjadi sokongan moral kepada Danial Irfan untuk terus maju,” katanya ditemui di rumahnya di Duyong pada Ahad.
Rosman berkata, anak keempat daripada lima beradik itu sememangnya rajin dan membuat kerja sambilan di sebuah kedai makan pada Sabtu dan Ahad sebelum ini.
“Selepas ini saya tidak menggalakkan dia kerja sambilan lagi. Dia perlu fokus kepada pelajaran dan mudah-mudahan dapat membanggakan ibu bapa dan orang sekelilingnya,” katanya.
Kisah sama turut dirasai Masayu Salleh, 43, yang hanya bergantung kepada pendapatan sekitar RM2,000 sebulan di sebuah hospital selepas suaminya, Dharmadeydjaya Sukar, 50, mengalami strok dua tahun lalu dan tidak lagi mampu bekerja.
Katanya, keadaan kewangan keluarga agak perit kerana perlu menanggung kesemua tujuh anak belajar termasuk tiga daripadanya sedang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Saya sangat lega dan gembira apabila mendapat tahu anak sulung, Nurul Shahira Dharmadeydjaya, 22, kini berada di semester ketiga pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima biasiswa ini kerana sedikit sebanyak dapat meringankan kos pembelajaran.
“Kalau hendak harapkan saya seorang memang tidak cukup. Mujur ada emak yang menerima pencen dan boleh membantu sedikit,” katanya.
Masayu berkata, keadaan ekonomi keluarga pernah menyebabkan anaknya itu terfikir untuk tidak meneruskan pengajian.
“Saya menasihatinya bahawa sudah separuh jalan, jangan berhenti. Habiskan sahaja dahulu. Kalau boleh, saya mahu semua anak belajar tinggi walaupun kami terpaksa berdepan dengan keadaan yang agak sukar,” katanya.
Biasiswa beri peluang baharu
Sementara itu, suri rumah, Ida Rohani Sohaimi, 42 berkata, keadaan kesihatannya menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja sebagai tukang masak selepas mengalami masalah slip disc akibat terjatuh di bilik air.
Katanya, suaminya pula bekerja secara kontrak dengan pendapatan tidak menentu namun bersyukur keluarga menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban.
“Sekarang kos sara hidup memang tinggi, termasuk perbelanjaan makanan namun saya tidak mampu bekerja disebabkan masalah kesihatan.
“Saya harap anak saya, Nur Farhana Bisminoor, 19, belajar bersungguh-sungguh. Itu sahaja harapan kita sebagai ibu yang tidak berpeluang belajar di peringkat tinggi,” katanya.
Bagi Nurafezah Kamis, 43, yang bekerja sebagai pembantu jururawat di sebuah pusat rawatan swasta, berita anaknya menerima BAeK PTPTN pula hadir ketika keluarga masih cuba keluar daripada beban kewangan.
Dia akui termenung seketika selepas anaknya, Muhammad Nadzrif Nazmi, 18 mendapat tawaran belajar di Politeknik Merlimau.
“Walaupun yuran di politeknik tidak semahal institut pengajian lain namun keadaan kewangan yang kurang mengizinkan menyebabkan saya termenung seketika.
“Alhamdulilah perasaan saya bercampur baur ketika tahu anak dapat biasiswa. Sedih ada, terkejut pun ada sebab tidak sangka.
“Sebelum ini dia tidak pernah dapat biasiswa. Dia juga pernah bekerja sambilan untuk membantu menanggung kos pengajian,” katanya.
1,254 pelajar telah terima manfaat BaeK PTPTN
Keempat-empat keluarga terbabit daripada Melaka menerima tawaran BAeK PTPTN disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, di kediaman penerima di Melaka pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Adam Adli berkata, sejak diperkenalkan pada 1 Januari hingga 31 Ogos 2026, seramai 1,254 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat BAeK PTPTN membabitkan peruntukan sebanyak RM20.87 juta.
“BAeK PTPTN ini merupakan inisiatif biasiswa yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Belanjawan 2026.
”Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dálam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA yang diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Januari 2026.
“Pada asalnya kita laksanakan untuk pelajar baharu, tetapi kita telah perluaskan kepada pelajar yang sudah mengikuti pengajian dan masih mempunyai baki tempoh pengajian sekiranya mereka layak.
”Pelaksanaan BAeK PTPTN mencerminkan komitmen Kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar, di samping melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing demi pembangunan negara,” katanya.