Wanita dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat

Iklan
Tular rakaman video motosikal dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Widad di Kuantan pada Isnin.

KUANTAN — Seorang wanita mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Widad, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 7.40 pagi, Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah Indera Mahkota menuju ke Pasar Borong Kemunting manakala motosikal ditunggang wanita berusia 19 tahun berkenaan bergerak dari arah Jalan Bypass menuju ke Indera Mahkota.

“Berdasarkan siasatan awal dan rakaman video yang diperoleh, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan melalui persimpangan berkenaan.

Iklan

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan pada bahagian bahu dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashari berkata, kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan dan membantu siasatan.

Iklan

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan secara terperinci punca dan keadaan yang membawa kepada kemalangan tersebut.

Menurutnya, pihak polis mengambil maklum mengenai rakaman kejadian yang tular di media sosial.

"Kita meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta sentiasa mematuhi lampu isyarat dan peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuantan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.