Taufan Dujuan: Ratusan penerbangan dibatalkan, penduduk diminta berpindah

Iklan
Taufan Dujuan yang melanda Jepun mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan amaran tanah runtuh turut dikeluarkan. Foto: AFP

TOKYO - Lebih sejuta penduduk di Jepun menerima arahan pemindahan awal pada Selasa susulan Taufan Dujuan melintasi ibu negara itu, lapor CNA News.

Menurut kerajaan tempatan, dua orang disahkan maut selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di wilayah Chiba dan Kanagawa berhampiran Tokyo.

Iklan
Iklan

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan taufan berkenaan membawa angin kencang sehingga kira-kira 144 kilometer sejam ketika bergerak sekitar 130 kilometer ke selatan Bandar Katsuura berhampiran Tokyo.

Menurut JMA, Dujuan dijangka bergerak menjauhi pantai menuju ke timur laut dan keluar ke laut dengan kelajuan angin yang sedikit berkurangan.

Iklan

Ancaman taufan itu juga menyebabkan Japan Airlines membatalkan 135 penerbangan, manakala All Nippon Airways membatalkan 140 penerbangan.

Lebih 9,000 isi rumah berhampiran Tokyo turut terputus bekalan elektrik.

Iklan

Menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana, lebih 1.6 juta penduduk di dalam dan sekitar ibu negara itu diminta berpindah pada Isnin. Bagaimanapun, arahan pemindahan berkenaan tidak diwajibkan.

Amaran tanah runtuh dikeluarkan bagi Tokyo serta wilayah Chiba, Kanagawa dan Shizuoka.

Pengendali perkhidmatan kereta api di Tokyo dan wilayah berdekatan turut menggantung perkhidmatan di beberapa laluan.

Dujuan turut menyebabkan penutupan awal Tokyo Game Show, antara pameran perdagangan permainan video terbesar dunia, pada Isnin, iaitu hari terakhir acara berkenaan.

Sebuah festival muzik utama yang diadakan di kawasan terbuka serta satu perlawanan besbol yang dijadual berlangsung di Chiba turut dibatalkan.

Catatan di media sosial memaparkan gambar jalan raya di hadapan stesen Kamakura, lokasi tumpuan pelancong, dilanda banjir.

"Terdapat banjir di beberapa kawasan bandar, jadi perjalanan menggunakan kereta adalah berbahaya," kata Datuk Bandar Kamakura, Takashi Matsuo, menerusi aplikasi X.

Banjir turut menenggelami beberapa kawasan di bandar Ichikawa, di timur Tokyo.