MERAK Jalanan tengok satu video curi kabel yang tular. Sampai beberapa kali Merak Jalanan ulang tengok sebab ada satu babak yang benar-benar membuatkan Merak Jalanan tertanya-tanya.
Dalam video itu, sekumpulan lelaki sedang memotong kabel pada waktu malam. Bukan sembunyi-sembunyi sangat pun.
Kabel dipotong menggunakan pemotong kabel, kemudian mereka kelam-kabut mengangkat dan memasukkannya ke dalam bonet kereta.
Kemudian muncul sebuah kereta peronda polis. Namun, kumpulan lelaki berkenaan masih berada di situ dan makin galak buat aksi memotong kabel.
Merak Jalanan tengok babak itu dan terus terfikir. Polis itu tahu ke mereka sedang curi kabel?
Atau dia tak tahu atau buat-buat tak tahu. Itu yang netizen persoalkan. Merak Jalanan tak ada jawapan.
Apa yang Merak Jalanan tahu, daripada video itu memang jelas kelihatan peronda polis berada di lokasi ketika kerja memotong kabel sedang berlaku.
Apa yang berlaku sebelum dan selepas rakaman pula kita tidak tahu.
Sebab itu Merak Jalanan tak mahu terus menuduh anggota tersebut bersekongkol dengan pencuri tetapi persoalan tetap persoalan.
Lebih-lebih lagi kes curi kabel bukan perkara baharu. Bila kabel hilang, orang ramai yang terkena tempiasnya.
Jadi kalau benar anggota itu tidak tahu apa yang sedang berlaku, Merak Jalanan harap ada penjelasan.
Sebab daripada sudut orang yang menonton video, memang pelik.
Pencuri sedang potong kabel, ada polis. Persoalannya, apa sebenarnya berlaku?