Terusan Pinglu bantu kurangkan kos

Iklan
Delegasi media antarabangsa diberi penerangan mengenai operasi dan pembangunan Pelabuhan Teluk Beibu ketika mengadakan lawatan ke pusat pameran terminal kontena di Qinzhou Guangxi, China.

NANNING - Hanya dengan beberapa sentuhan di skrin telefon pintar, pelbagai barangan dari China kini boleh dibeli menerusi platform seperti TikTok Shop, Shopee dan Lazada sebelum sampai ke tangan pengguna di Malaysia.

Daripada pakaian, aksesori telefon dan peralatan rumah hinggalah barangan elektronik, produk dari negara itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Iklan
Iklan

Namun, pernahkah kita terfikir sejauh mana perjalanan perlu ditempuh sebelum barangan itu tiba di depan pintu rumah, sama ada melalui ruang udara atau lautan?

Di sebalik setiap bungkusan yang dinanti, ada perjalanan panjang melibatkan pengangkutan darat, pelabuhan dan kapal yang mengambil masa serta kos sebelum akhirnya sampai ke Malaysia.

Iklan

Tidak lama lagi, sebahagian perjalanan itu berpotensi menjadi lebih singkat apabila China membuka Terusan Pinglu di Guangxi kepada lalu lintas kapal pada September.

Kemudahan kunci air di Terusan Pinglu, Guangxi yang dibina bagi membolehkan kapal melalui perbezaan aras air sepanjang laluan terusan berkenaan.

Iklan

Terusan sepanjang 134.2 kilometer yang menghubungkan sistem Sungai Xijiang dan Sungai Qinjiang sebelum menuju ke Teluk Beibu itu bakal membuka laluan baharu dari kawasan pedalaman Guangxi ke laut, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara ASEAN termasuk Malaysia.

Lebih daripada sekadar projek mega, laluan baharu RM43 bilion (RMB72.7 bilion) itu dijangka memendekkan jarak pengangkutan ke ASEAN sehingga 560 kilometer dan mengurangkan kos logistik sekitar 20 peratus.

Angka itu mungkin sekadar ukuran jarak dan kos, namun akhirnya ia beri kesan bagaimana barangan bergerak dari satu negara ke negara lain sebelum sampai kepada pengguna.

Pengalaman penulis bersama delegasi pengamal media dari pelbagai negara selama enam hari di Nanning dan Qinzhou membuka ruang untuk melihat sendiri bagaimana Guangxi mempersiapkan rangkaian pengangkutan dan logistiknya bagi menghubungkan wilayah itu dengan negara ASEAN.

Menerusi program 2026 Overseas Media Tour to Guangxi, delegasi dibawa meninjau beberapa lokasi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan perdagangan dan logistik Guangxi dengan negara ASEAN antaranya Terusan Pinglu, Pelabuhan Teluk Beibu dan Terminal Kontena Automatik Qinzhou, selain kawasan perindustrian serta kemudahan logistik.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kawasan Operasi Liujing, Pelabuhan Nanning yang bakal memainkan peranan sebagai hab transit dan pengumpulan kargo apabila Terusan Pinglu mula beroperasi.

Pengurus Besar Nanning Port Development and Investment Co Ltd, Wang Fakun berkata, operasi terusan itu kelak akan membuka ruang kepada pergerakan barangan dari pedalaman barat daya China untuk disalurkan dengan lebih lancar ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Fakun ketika ditemui semasa sidang akhbar semasa lawatan mengenai operasi bagi Guangxi Beibu Gulf International Port Group di Quangxi.

"Selepas Terusan Pinglu dibuka untuk navigasi, tempat ini akan menjadi hab transit dan pusat perhubungan utama bagi sumber barangan dari pedalaman barat daya China dan negara-negara Asia Tenggara.

"Melalui Terusan Pinglu barangan berkaitan negara ASEAN termasuk Malaysia serta barangan dihantar ke ASEAN dapat dikumpul dan disalur dengan lancar melalui terusan ini," katanya.

Menurut Fakun lagi, pembukaan Terusan Pinglu juga dijangka memberi sokongan kepada sistem logistik sedia ada dan membantu mengurangkan kos pengangkutan.

"Kami percaya pembukaan Terusan Pinglu memudahkan sistem logistik sedia ada. Kos logistik juga akan dapat dikurangkan dengan berkesan," katanya.

Produk

Kenyataan itu memberi gambaran manfaat laluan berkenaan kepada Malaysia bukan hanya melibatkan barangan dari China yang memasuki negara ini, tetapi turut membabitkan pergerakan produk Malaysia ke pasaran China melalui jaringan yang sama.

Antara komponen penting dalam jaringan itu ialah Pelabuhan Teluk Beibu yang merangkumi tiga kawasan pelabuhan utama iaitu Fangchenggang, Qinzhou dan Beihai.

Menurut Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, Pelabuhan Teluk Beibu kini mempunyai 103 laluan kontena domestik dan antarabangsa, termasuk 64 laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkannya dengan Asia Tenggara serta pasaran global lain.

Daripada jumlah itu, terdapat 50 laluan kontena terus ke pelabuhan utama ASEAN, memperlihatkan peranan Teluk Beibu sebagai antara pintu perdagangan Guangxi ke rantau ini.

Delegasi turut ditunjukkan peta rangkaian perkapalan Pelabuhan Teluk Beibu yang menghubungkannya dengan pelabuhan di negara ASEAN.

Bagi Malaysia, tiga pelabuhan yang ditunjukkan dalam jaringan berkenaan ialah Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Klang, Selangor; dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Perjalanan laut dari Pelabuhan Teluk Beibu ke Kuantan pula mengambil masa kira-kira lima hingga tujuh hari, sekali gus memberi gambaran hubungan logistik yang sudah tersedia antara Guangxi dan Malaysia.

Hubungan itu bukan sekadar membawa barangan dari China ke Malaysia, malah membuka laluan dua hala produk tempatan untuk menembusi pasaran negara berkenaan.

Durian musang king dari Malaysia yang popular dalam kalangan rakyat China antara contoh produk dibawa melalui Pelabuhan Qinzhou sebelum diedar menerusi rantaian sejuk ke wilayah barat daya negara tersebut.

Pembukaan Terusan Pinglu dijangka mengukuhkan lagi jaringan itu apabila kawasan pedalaman Guangxi mempunyai laluan lebih terus menuju Teluk Beibu sebelum kargo diteruskan melalui laut ke negara ASEAN.

Namun bagi Malaysia, persoalannya bukan sekadar sejauh mana perjalanan perdagangan dengan China dapat dipendekkan, tetapi sejauh mana manfaat jaringan baharu itu boleh diperluaskan ke seluruh negara.

Persoalan itu lebih signifikan bagi Sabah dan Sarawak yang berdepan kos logistik tinggi, sekali gus mendorong penulis membangkitkan kemungkinan kedua-dua wilayah turut mendapat manfaat daripada perkembangan jaringan perdagangan itu.

Semasa delegasi menghadiri program Dialogue with the World-Chinese and Foreign Youth on Opportunities in the Canal Era, Timbalan Ketua Pengarang Kwong Wah Yit Poh Press Bhd, Ng Yee Min turut hadir sebagai tetamu jemputan dan menyampaikan ucapan mengenai hubungan Malaysia-China.

Yee Min ketika ditemui Sinar Harian semasa program Dialogue with the World-Chinese and Foreign Youth on Opportunities in the Canal Era.

Mewakili akhbar berpangkalan di Semenanjung Malaysia, penulis turut mendapatkan pandangan Yee Min potensi Sabah dan Sarawak untuk memanfaatkan hubungan perdagangan yang semakin berkembang antara Malaysia dan China.