BENTONG - Minat terhadap dunia automotif bukan sekadar menemukan peminat kereta, malah menjadi ruang untuk mereka mengenali budaya dan warisan masyarakat lain menerusi program 'ROLL TO Temple: We Drive, We Unite' di Genting Sempah, di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung di Yu Feng Shun Ling Gong Temple itu menghimpunkan peminat automotif daripada pelbagai kelab dan komuniti dalam suasana santai, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan peserta berbilang latar belakang.
Menurut penganjur, Muhammad Elyas Mohd Isa Azmi, ROLL TO diperkenalkan bukan hanya sebagai aktiviti konvoi dan pertemuan peminat kereta, sebaliknya platform untuk peserta berinteraksi sambil meneroka lokasi yang mempunyai nilai budaya, sejarah dan keunikan tersendiri.
“Kami mahu ROLL TO menjadi lebih daripada sekadar aktiviti memandu dan berkumpul. Setiap destinasi yang dipilih memberi peluang kepada peserta untuk melihat, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia,” katanya.
Program kali ini membawa peserta mengenali dengan lebih dekat sejarah, suasana dan tradisi yang berkait dengan tempat ibadat masyarakat Cina menerusi sesi lawatan ke tokong berkenaan.
Antara pengisian program ialah sarapan bersama, penerangan dan perkongsian berkaitan budaya, sesi fotografi berkumpulan serta cabutan bertuah.
Lebih menarik, program itu turut menghimpunkan pelbagai kelab dan komuniti automotif termasuk Vios Pari Malaysia Unwritten Team, Stay Humble Team, Kelab Permotoran Overzest, Ativa Santai Crew, Toyota Vios V4 Club, Central Dominate, Ace Crew Motorsport, XADO Malaysia, COBRA Team, Komuniti Borak2 TT dan SLK Owner Club.
Elyas berkata, pemilihan destinasi berasaskan budaya dan agama itu merupakan antara pendekatan ROLL TO bagi membuka peluang kepada komuniti automotif mengunjungi lokasi yang mungkin belum pernah mereka terokai.
Katanya, konsep ‘Berbeza Kelab, Sama Minat, Satu Komuniti’ yang diketengahkan program berkenaan membawa mesej bahawa perbezaan latar belakang, kelab atau jenis kenderaan bukan penghalang untuk masyarakat berkumpul atas minat yang sama.
“Minat terhadap automotif boleh menjadi titik pertemuan untuk kita saling mengenali dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, konsep ROLL TO juga tidak terhad kepada lokasi tertentu kerana program akan datang berpotensi meneroka destinasi lain termasuk masjid, kuil serta mercu tanda kebudayaan dan sejarah.
Pendekatan itu selari dengan usaha penganjur menjadikan aktiviti automotif sebagai medium memupuk patriotisme, perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau juga berharap ROLL TO dapat diteruskan sebagai platform komuniti yang menggabungkan minat terhadap automotif dengan penerokaan budaya dan warisan Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak ruang interaksi antara masyarakat daripada latar belakang berbeza.