SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), sekali lagi akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan sekali gus menzahirkan komitmen dan iltizam berterusan kerajaan dalam memperkukuh tatakelola, integriti dan usaha memerangi rasuah.
Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 bertemakan “MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah” akan diadakan pada 25 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan melabuhkan tirai dengan penyempurnaan penutupan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, persidangan ini akan menghimpunkan 1,000 peserta melibatkan pelbagai pihak berkepentingan merupakan platform penting dalam memperkukuh perkongsian pengetahuan dan dapatan penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah, selaras dengan aspirasi “MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah.
Katanya, persidangan ini menyediakan ruang kepada para penyelidik, perancang dasar, pengamal serta pemegang taruh untuk berkongsi dapatan kajian, bertukar pandangan dan menilai pendekatan yang bersesuaian dalam menangani cabaran semasa berkaitan tatakelola, integriti dan risiko rasuah.
“Sebanyak enam kertas projek penyelidikan akan dibentangkan pada persidangan kali ini, melibatkan enam entiti penyelidik daripada institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Persidangan ini bukan sekadar menjadi medan pembentangan hasil penyelidikan, tetapi turut menyediakan ruang untuk dapatan dan syor yang dikemukakan dikongsi secara terbuka bersama pemegang taruh yang berkaitan.
Perkongsian sebegini penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diberikan perhatian dan dipertimbangkan sebagai input kepada usaha penambahbaikan tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah di organisasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan institusi penyelidikan dalam persidangan ini turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara SPRM dengan pihak akademik dalam menghasilkan kajian yang dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai isu tatakelola, integriti dan antirasuah.
“Dapatan penyelidikan yang dibentangkan diharapkan bukan sahaja menyumbang kepada pengembangan ilmu, malah dapat menjadi input yang berguna kepada pihak berkepentingan dalam merangka pendekatan, strategi dan tindakan yang lebih berkesan ke arah memperkukuh tatakelola berintegriti serta merealisasikan aspirasi Malaysia bebas rasuah,” katanya.
Dengan tema “MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah,” persidangan ini diharap dapat memperkukuh kesedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan tatakelola dan integriti serta membudayakan nilai antirasuah dalam organisasi dan masyarakat.
Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah ini merupakan agenda tahunan SPRM yang menjadi platform penting dalam memperkasa perkongsian hasil penyelidikan serta menghubungkan dapatan akademik dengan keperluan sebenar dalam usaha membina sebuah negara yang mempunyai tatakelola kukuh, berintegriti dan bebas rasuah.