Permintaan e-hailing, p-hailing dijangka melonjak hingga 300 peratus sempena F1 Sepang

Iklan
LEAD Malaysia mengingatkan komuniti e-hailing dan p-hailing supaya tidak mengutamakan tempahan, bonus, insentif dan surge semata-mata sehingga mengabaikan aspek keselamatan serta layanan kepada pelanggan.

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap perkhidmatan e-hailing dan p-hailing dijangka melonjak antara 200 hingga 300 peratus di kawasan tumpuan sepanjang penganjuran Formula 1 (F1) di Sepang.

Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) berkata, peningkatan itu berdasarkan corak permintaan yang lazim berlaku ketika acara antarabangsa berskala besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lonjakan permintaan dijangka tertumpu di sekitar Sepang, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, sekali gus membuka peluang kepada ribuan rakan pemandu dan penghantar untuk menambah pendapatan.

“Ini peluang untuk menambah pendapatan dan wajar dimanfaatkan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

LEAD Malaysia berkata pihaknya turut menjangkakan ramai rakan pemandu dari negeri berhampiran akan menuju ke Lembah Klang dan Sepang bagi mengambil peluang sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.

Bagi rakan penghantar pula, peningkatan jumlah pengunjung berpotensi meningkatkan permintaan terhadap penghantaran makanan dan barangan di kawasan tumpuan.

Iklan

“Rezeki F1 ini biarlah turut dirasai oleh komuniti gig,” katanya.

Bagaimanapun, LEAD Malaysia mengingatkan komuniti e-hailing dan p-hailing supaya tidak mengutamakan tempahan, bonus, insentif dan surge semata-mata sehingga mengabaikan aspek keselamatan serta layanan kepada pelanggan.

Menurutnya, rakan pemandu bukan sekadar membawa penumpang, sebaliknya turut menjadi antara individu pertama yang ditemui pelancong asing sebaik tiba di Malaysia.

“Walaupun mereka mungkin tidak mengingati nama pemandu yang membawa mereka, mereka akan mengingati bagaimana layanan yang diterima.

“Justeru, setiap perjalanan bukan sekadar satu tempahan, tetapi peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia,” katanya.

LEAD Malaysia turut menyeru rakan pemandu memastikan kenderaan sentiasa bersih dan selesa, berpenampilan kemas serta mengutamakan pemanduan selamat sepanjang minggu perlumbaan.

Mereka juga disaran bersabar dengan kesesakan yang dijangka berlaku dan menyambut tetamu dengan senyuman, selain menggunakan ucapan mudah seperti “Welcome to Malaysia” atau “Selamat Datang ke Malaysia” ketika membawa pelancong asing.

Rakan pemandu turut diingatkan supaya meminta penumpang memeriksa tempat duduk dan ruang simpanan sebelum meninggalkan kenderaan bagi memastikan telefon, dompet, beg, pasport atau barangan peribadi tidak tertinggal.

Bagi rakan penghantar, LEAD Malaysia berkata mereka juga merupakan sebahagian daripada wajah Malaysia dan perlu menjaga tutur kata, penampilan serta adab ketika menyerahkan pesanan kepada pelanggan.

Dalam pada itu, LEAD Malaysia mengingatkan komuniti gig supaya tidak memaksa diri bekerja terlalu lama semata-mata mengejar permintaan tinggi.

“Rezeki penting, kesihatan pun penting. Ambil masa untuk makan, minum, solat dan berehat secukupnya.

“Elakkan memandu atau menunggang ketika terlalu letih dan jangan mengambil risiko di jalan raya semata-mata untuk mengejar satu lagi tempahan,” katanya.

LEAD Malaysia berkata walaupun F1 hanya berlangsung beberapa hari, tanggapan pelancong terhadap Malaysia boleh kekal untuk tempoh yang jauh lebih lama.

“Kita mungkin mencari rezeki melalui aplikasi yang berbeza, tetapi apabila tetamu dari luar negara menaiki kenderaan atau menerima penghantaran daripada kita, kita semua membawa satu nama yang sama – Malaysia,” katanya.