PUTRAJAYA - Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh enggan mendedahkan perincian perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang memuktamadkan keputusan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke untuk menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Tegasnya, keputusan muktamad CEC yang disifatkan sebagai badan pembuat keputusan tertinggi parti itu perlu dihormati.
"Itu adalah keputusan CEC, perbincangan lain saya tidak mahu dedahkan tetapi kena hormati keputusan yang telah dibuat," katanya pada sidang media Bazar Deepavali 2026 di sini, Isnin.
Hannah berkata demikian ketika mengulas keputusan CEC DAP selepas mesyuarat berhubung pendirian parti terhadap isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anthony sebelum ini menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat tergempar CEC DAP yang berlangsung selama kira-kira tiga jam pada 19 September lalu.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai reaksi parti terhadap perkembangan tersebut, namun menegaskan tawaran peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya.
Anthony turut menjelaskan menteri dan timbalan menteri DAP yang lain akan kekal dalam Kabinet bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau berasa tertekan susulan peletakan jawatan Anthony, termasuk kemungkinan beliau turut meninggalkan kerajaan, Hannah tidak memberikan petunjuk mengenai sebarang perubahan terhadap kedudukannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut mengunci mulut ketika ditanya adakah Lembaga Pengampunan akan mendedahkan minit mesyuarat berkenaan.
"Tiada komen untuk (soalan) Lembaga Pengampunan," katanya ringkas.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau belum menerima surat peletakan jawatan secara rasmi daripada Anthony dan akan berbincang dengannya mengenai kedudukan itu selepas kepulangannya daripada lawatan rasmi ke China.
Kementerian Pengangkutan pula memaklumkan Anthony meneruskan lawatan rasmi ke China seperti dijadualkan dan akan kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan.