KOTA KINABALU - Dua penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) masing-masing mencipta nama apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah 2026 yang berlangsung bermula Isnin.
Lebih menarik, Naufal Zahari, 22, dan Edison Chia Yi Loong, 23, berkongsi aspirasi hampir sama untuk memanfaatkan teknologi dalam sektor pertanian, termasuk bagi meningkatkan pengeluaran serta keterjaminan makanan negara pada masa depan.
Naufal yang merupakan bekas pelajar Politeknik Sandakan Sabah menerima Anugerah Ketua Pengarah dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Agroteknologi di UNIMAS.
"Agroteknologi ini orang ingat selalunya pertanian sahaja. Tapi dalam bidang agroteknologi ini banyak, ia berkembang dengan teknologi, bidang sains dan juga untuk kita menghasilkan pengeluaran makanan pada masa akan datang.
"Ia berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga keterjaminan makanan sekarang. Jadi apa yang saya boleh bawakan adalah penghasilan dan keterjaminan pengeluaran makanan untuk masa hadapan, insya-ALLAH," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Naufal berkata, minatnya terhadap bidang pertanian sebenarnya bermula sejak kecil sebelum semakin berkembang ketika pandemik Covid-19 apabila keluarganya terbabit dalam membekalkan barangan pertanian di seluruh Sabah.
"Sebab masa Covid-19 kita tidak boleh buat apa-apa, cuma pertanian saja yang boleh mengembangkan pendapatan. Masa itu kami ada buat bekalan barang-barang pertanian ke seluruh Sabah.
"Jadi di situlah mula berkembangnya minat saya dalam bidang agroteknologi. Sehingga ke peringkat ijazah saya masih lagi ambil bidang agroteknologi disebabkan minat yang mendalam," katanya.
Menurut Naufal, perkembangan teknologi juga membolehkan generasi muda menceburi bidang pertanian tanpa memerlukan kawasan tanah yang luas seperti tanggapan kebanyakan masyarakat selama ini.
"Sekarang ini untuk jadi petani tidak perlu sebidang tanah pun. Kita hanya perlu satu plot pun sudah cukup untuk jadi seorang petani. Sekarang sudah banyak sistem yang dikembangkan untuk memudahkan orang bercucuk tanam seperti sistem fertigasi.
"Jadi saya bercadang dan berniat jika ada rezeki suatu hari nanti, saya mungkin buka pertanian untuk fertigasi ataupun hidroponik," katanya yang turut berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Sementara itu, Edison, yang menerima Anugerah Khas Industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula mempunyai pengalaman sebagai pembangun teknologi selepas menjalani latihan industri sebelum bekerja selama setahun di sebuah syarikat di Penampang.
"Salah satu projek yang saya boleh bincangkan adalah projek berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) AgriData, bekerjasama dengan AgriData, Hydroponic Self-Injection System.
"Untuk saya, saya cuba yang terbaik apa yang saya boleh untuk mengembangkan IoT dan juga teknologi di Sabah," katanya.
Edison yang kini merupakan penuntut tahun pertama UNIMAS berkata, penggunaan teknologi termasuk sistem hidroponik automatik mempunyai potensi untuk membantu perkembangan sektor pertanian pada masa depan.
"Dengan industri pertanian, syarikat saya sebelum ini memang lebih kepada hidroponik supaya pertanian akan datang mereka akan menggunakan hidroponik secara automatik dan bukan secara manual.
"Pandangan saya kepada sekuriti makanan adalah harap dapat mengurangkan import, mengurangkan import dan juga memasarkan lebih banyak penanam di negeri ini," katanya yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Elektronik.