KOTA BHARU - Sebanyak 10,000 buku menjadi 'bekalan ilmu' kepada prospek di institusi penjara di Semenanjung sebagai sebahagian usaha membantu mereka berubah dan tidak kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, koleksi buku pelbagai kategori itu diperoleh menerusi kerjasama dengan Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan SMO Bookstores.
Menurut beliau, buku berkenaan merangkumi bahan agama, fiksyen dan motivasi yang akan diedarkan ke semua institusi penjara kecuali Sabah, Sarawak untuk dimanfaatkan prospek sebagai bahan bacaan sepanjang menjalani hukuman.
"Program ini kita harap menjadi peluang kepada prospek untuk membaca dan pulih dalam kehidupan di penjara," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan SMO Bookstores di Blok Wanita, Penjara Pengkalan Chepa di sini.
Beliau memberitahu, pendekatan berkenaan merupakan antara usaha menyokong prospek supaya mempunyai persediaan ilmu dan pemikiran lebih baik sebelum kembali ke tengah-tengah masyarakat.
Mohamad Rosidek memberitahu, pihaknya berharap ilmu dan bahan bacaan yang diperoleh sepanjang berada di penjara dapat membantu mengurangkan risiko mereka mengulangi kesalahan atau residivis selepas dibebaskan.
"Kita harap mereka tidak residivis dan kembali masuk penjara sebab mereka berilmu," katanya.
Jelas beliau, program berkenaan yang dilancarkan sejak Februari lalu merupakan inisiatif pertama pihaknya menggunakan pendekatan kolaborasi dengan sektor korporat untuk mendapatkan bahan bacaan bagi prospek.
Menurutnya, sumbangan turut digerakkan menerusi 31 premis SMO Bookstores dengan masyarakat boleh membeli buku untuk disumbangkan, selain mendapat diskaun daripada pihak berkenaan.
"Kita harap selepas ini akan ada lagi agensi, korporat dan sebagainya membantu kita untuk menerima kembali prospek dengan apa cara sekalipun.
"Kita juga harap usaha ini dapat membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap mereka yang pernah menjalani hukuman penjara," katanya.