KOTA KINABALU - Tindakan pemandu Perodua Viva berwarna hitam yang ingkar arahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya berhenti sehingga tular di media sosial membawa padah apabila akhirnya berjaya disita di Tuaran.
JPJ Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika Bahagian Penguatkuasanya menjalankan operasi pada malam Sabtu lalu.
"Susulan tindakan tersebut, kenderaan berkenaan dikesan dan disita di sebuah rumah di Tuaran pada hari sama untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit mempunyai beberapa kesalahan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Pemandunya juga didapati tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL), selain gagal berhenti apabila diarahkan oleh pegawai penguat kuasa.
Kenderaan itu turut disiasat berhubung kesalahan dipandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Susulan itu, notis saman JPJ(P)22 dan notis penyitaan mengikut JPJ 64(1) dikeluarkan terhadap kenderaan berkenaan.
JPJ Sabah menegaskan setiap arahan berhenti yang diberikan pegawai penguat kuasa wajib dipatuhi oleh pengguna jalan raya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar arahan serta melakukan kesalahan di bawah undang-undang jalan raya," menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan sebuah Perodua Viva dikejar kenderaan penguat kuasa JPJ selepas pemandunya cuba melarikan diri daripada ditahan untuk pemeriksaan dalam kejadian di Telipok.
Bagaimanapun, dalam tempoh kurang 24 jam, kenderaan sama berjaya dikesan dan disita sebelum dibawa dengan diiringi kenderaan JPJ, yang turut dirakam serta tular di media sosial.