KOTA BHARU - Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah semasa menjalani hukuman di balik tirai besi itu.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat bagi mengawal kemasukan serta peredaran bahan terlarang dalam institusi penjara.
Menurut beliau, Jabatan Penjara sentiasa berusaha mengekang sebarang perkara negatif termasuk salah laku dalam kalangan penghuni penjara menerusi kawalan serta program pemulihan yang dilaksanakan.
"Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang didakwa," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan SMO Bookstores di Blok Wanita, Penjara Pengkalan Chepa di sini.
Terdahulu media melaporkan, Muhammad Yasin mendakwa dadah masih memasuki penjara walaupun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu.
Menurut Yasin, beliau diarahkan menanggalkan pakaian dan menjalani pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, namun langkah berkenaan didakwa masih tidak dapat menghalang peredaran dadah di dalam penjara.
Katanya menerusi audio siar, memang banyak dadah dalam penjara, walaupun sudah ada semua SOP.
Mengulas lebih lanjut, Mohamad Rosidek menegaskan, pihak penjara memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kawalan, malah usaha pemulihan bagi menangani perkara negatif yang boleh menjejaskan penghuni.
"Kita dalam konteks kepenjaraan, fokus pada program pemulihan. Kita akan cuba atasi perkara-perkara yang negatif yang sedang berlaku di penjara," katanya.
Ujar beliau, sebarang salah laku yang dikesan akan ditangani dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peraturan ditetapkan.
Mohamad Rosidek memberitahu, SOP berkaitan kawalan keselamatan dan pengurusan penjara turut dikaji secara berperingkat bagi memastikan ia sentiasa ditambah baik.
"Jabatan Penjara berusaha memastikan perkara-perkara negatif, salah laku dan sebagainya kita tangani serta ambil tindakan.
"Setiap tahun kita akan cuba ketatkan SOP dan akan kaji peringkat demi peringkat," katanya.