Bekas timbalan pengurus anak syarikat TH didakwa subahat pecah amanah

Iklan
Tengku Kamarolhisham (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah hasil kutipan penalti daripada kontraktor sebanyak RM14,000 melibatkan projek membina dan menyiapkan projek bangunan komersial setinggi 22 tingkat kira-kira sembilan tahun lalu.

KOTA BHARU - Seorang bekas timbalan pengurus anak syarikat Tabung Haji (TH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah hasil kutipan penalti daripada kontraktor sebanyak RM14,000 melibatkan projek membina dan menyiapkan projek bangunan komersial setinggi 22 tingkat kira-kira sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap, 53, yang merupakan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta dan memasukkan wang berjumlah RM14,000 ke dalam akaun bank sendiri yang merupakan hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Kelpile Sdn Bhd.

Kutipan tersebut melibatkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, unit kediaman tingkat teratas (empat unit), kemudahan awam (aras tujuh), ruang perniagaan (dua tingkat), tempat letak kereta (lima tingkat), aras bawah tanah tambahan (satu tingkat) dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12 di sini.

Iklan

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Sofea Residensi, Seksyen 12 di sini antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.

Terdahulu, Asmah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Fahmi dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah berikutan tertuduh sudah membayar jaminan sebanyak RM45,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada awal bulan ini.

"Tertuduh kini bekerja sendiri sejak setahun lalu dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan selain perlu menanggung enam orang anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi awam dan bersekolah.

"Selain itu, tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis, jantung, darah tinggi dan kolesterol," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.