Pertahankan kesucian Makkah dan Madinah, ketepikan perbezaan politik - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan bersolidariti dalam mempertahankan kesucian Makkah dan Madinah, melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesucian kedua-dua tanah suci itu tidak boleh dijadikan medan pertarungan atau bahan pertaruhan, walau sebesar mana sekalipun perselisihan politik atau ketenteraan yang berlaku.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, beliau berkata, Makkah dan Madinah mesti kekal terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman atau tindakan ketenteraan.

"Walau dari mana sekalipun datangnya ancaman ini atau siapa pun yang berada di belakangnya, saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu ALLAH, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi serta menghargai hubungan persaudaraan yang erat dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid turut mendoakan semoga ALLAH SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, serta mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada baginda.

Iklan

Beliau turut mendoakan agar ALLAH SWT melindungi dan memberikan taufik kepada Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, serta merahmati seluruh rakyat negara itu.

"Semoga ALLAH SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi Dua Tanah Haram dan seluruh tetamu ALLAH daripada segala ancaman dan keburukan," katanya.

Pada 15 September lepas, Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di beberapa kawasan termasuk Makkah, Jeddah dan Taif susulan peningkatan serangan rentas sempadan, sebelum pihak berkuasa memaklumkan ancaman itu telah berakhir.

Pada hari sama, pertahanan udara Arab Saudi turut memintas dan memusnahkan sebuah dron di selatan Makkah sebelum memasuki ruang udara larangan kota suci itu, menurut kenyataan pihak berkuasa Saudi.

Makkah dan Madinah merupakan dua kota suci umat Islam, yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah haji dan umrah. - Bernama