SHAH ALAM - Situasi di Negeri Sembilan memerlukan tindakan segera Perdana Menteri dan Raja-Raja Melayu bagi memastikan pentadbiran negeri dapat terus berjalan serta kepentingan rakyat tidak terjejas.
Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Perdana Menteri perlu menghentikan perjalanan ke luar negara dan memberi perhatian kepada perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan.
Menurutnya, pentadbiran negeri hendaklah diteruskan termasuk urusan pembayaran serta kontrak baharu mesti ditandatangani.
"Minta pihak-pihak berkaitan merujuk isu-isu tersebut kepada Mahkamah Persekutuan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Tambah Zaid, panel penuh mahkamah perlu memutuskan sama ada penyingkiran Tuanku Mukhriz dan Exco adalah sah serta siapa Undang yang dipilih secara sah.
"Satu-satunya cara untuk mencari penyelesaian adalah bagi pihak-pihak tersebut bersetuju untuk membuat rujukan bersama terhadap semua persoalan itu dan mematuhi keputusan mahkamah.
"Sekiranya usaha berkenaan gagal, pengisytiharan darurat di Negeri Sembilan perlu dipertimbangkan dan Perlembagaan mesti digantung.
"Rakyat tidak boleh terus menderita lagi," katanya.