Tahanan rumah Najib: Polis kekal penugasan di kediaman

Iklan
Keadaan di hadapan kediaman Najib di sini pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Polis mengekalkan tahap kawalan keselamatan sedia ada di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penugasan anggota polis di kawasan berkenaan masih kekal seperti yang diumumkan pada Ahad.

Iklan
Iklan

“Sekiranya terdapat perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan rumah Datuk Seri Najib akan dilaksanakan di Langgak Duta, kita akan menambah kekuatan anggota,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang pengesahan mengenai bila Najib akan dipindahkan dari penjara, beliau berkata, setakat ini tiada maklumat diterima.

Iklan

“Belum lagi. Saya masih belum menerima sebarang maklumat,” katanya.

Sebuah balai polis bergerak ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta.

Iklan

Pada Ahad, Anuar Bakri berkata, sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta bermula jam 7 pagi Isnin sebagai sebahagian persediaan keselamatan bagi kemungkinan proses pemindahan dari penjara.

Beliau berkata, penugasan itu bertujuan melancarkan aspek keselamatan sepanjang proses pemindahan, mengurus kehadiran media tempatan dan antarabangsa serta penyokong, selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Anuar Bakri turut menegaskan bahawa penempatan balai polis bergerak itu bukan bertujuan menyediakan kawalan keselamatan 24 jam terhadap Najib.

Beliau berkata, tanggungjawab memantau Najib sepanjang tempoh tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara, manakala polis membantu dari segi pergerakan dan keselamatan sepanjang proses berkenaan.

Sebelum ini, empat pegawai Jabatan Penjara telah hadir ke kediaman di Langgak Duta bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah Najib akan memperincikan, antara lain aspek lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu selepas surat rasmi berkaitan diterima.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.