KEJADIAN buli di sebuah sekolah menengah agama di Bukit Ibam, Rompin, Pahang kembali mengundang persoalan besar mengenai tahap keselamatan pelajar di institusi pendidikan, khususnya asrama.
Berdasarkan laporan media dalam kejadian pada 12 September lalu, dua pelajar Tingkatan Dua didakwa dipanggil ke bilik asrama sebelum dipukul lima pelajar senior.
Polis mengesahkan lima suspek yang terdiri daripada tiga pelajar Tingkatan Lima dan dua pelajar Tingkatan Empat ditahan.
Kelima-limanya bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis tidak lama kemudian dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mangsa dikatakan dipukul hanya kerana salah seorang daripadanya ponteng kuliah agama dan seorang lagi dipercayai bersubahat.
Budaya buli yang bagaikan tiada kesudahan ini sedikit sebanyak mengundang persoalan, adakah sekolah masih tempat selamat untuk pelajar?
Naratifnya bagaikan terhakis sedikit demi sedikit ekoran terlalu banyak insiden buli berlaku di sekolah berasrama.
Asrama sepatutnya menjadi tempat pelajar berehat dan belajar dalam keadaan selamat, bukannya ruang atau peluang kepada senior menggunakan hierarki untuk menghukum junior sesuka hati.
Jika benar aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan sekolah, bagaimana pula mekanisme perlindungan yang tersedia untuk memastikan mangsa tidak berdepan risiko serangan susulan?
Kes seumpama ini menunjukkan bahawa pendekatan selepas kejadian semata-mata tidak memadai.
Penahanan suspek dan siasatan polis penting, tetapi pencegahan juga mesti berjalan serentak.
Misalnya pemantauan asrama, penyediaan saluran aduan selamat, pemeriksaan berkala serta tindakan tegas terhadap budaya ‘senioriti’ yang bertukar menjadi keganasan.
Lebih penting lagi, suara mangsa mesti didengari tanpa mereka dipersalahkan kerana bersuara.
Pengurusan sekolah juga disaran memainkan peranan penting dengan mengambil kira setiap aduan kes buli dalam kalangan pelajar secara serius, bukan memilih berdiam diri.