BERITA penemuan mayat seorang bayi lelaki yang disimpan di dalam lokar sebuah asrama institusi pendidikan di Dungun, Terengganu baru-baru ini, amat menyentuh hati.
Lebih memilukan, bayi itu dipercayai dilahirkan pada usia kandungan lapan bulan oleh seorang pelajar berusia 19 tahun di tandas asrama sebelum dibungkus dengan kain, dimasukkan ke dalam beg dan disembunyikan di dalam lokar.
Kehamilan bukan sesuatu yang berlaku dalam sehari. Begitu juga proses melahirkan anak. Namun, dalam kes ini, semuanya seolah-olah berlaku dalam diam sehingga akhirnya terbongkar selepas pelajar terbabit meminta bantuan pihak pengurusan masjid untuk menguruskan pengebumian bayi tersebut.
Kes pembuangan bayi bukan lagi isu yang boleh dipandang sebelah mata. Ia merupakan krisis sosial serius yang memerlukan perhatian dan tindakan daripada semua pihak, khususnya dalam usaha melindungi anak-anak remaja kita.
Kes di Dungun ini juga bukan kejadian terpencil. Berdasarkan statistik pihak berkuasa, isu pembuangan bayi masih berlaku dan terus menjadi kebimbangan masyarakat.
Bagi tempoh Januari hingga September 2024 pula, sebanyak 75 kes direkodkan, membabitkan 48 bayi ditemukan meninggal dunia dan 27 lagi ditemukan hidup. Malah, setakat Januari hingga Mac 2026, sebanyak 18 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara.
Komunikasi
Dalam menangani masalah ini, keluarga mempunyai peranan paling besar. Ibu bapa perlu mewujudkan komunikasi terbuka dengan anak-anak supaya mereka berasa selamat untuk berkongsi masalah tanpa takut terus dihukum atau dihakimi.
Kenali rakan-rakan anak, fahami pergaulan mereka dan pantau aktiviti di media sosial secara bijaksana tanpa menceroboh privasi secara keterlaluan.
Pada masa sama, pendidikan agama dan moral perlu terus diperkukuh sebagai benteng dalam kehidupan remaja.
Bagi anak-anak yang tinggal di asrama pula, jangan kerana mereka sudah semakin dewasa, kita menganggap mereka tidak lagi memerlukan perhatian.
Apabila pulang ke rumah, tanyalah khabar. Dengar cerita mereka. Beri ruang untuk mereka meluahkan perasaan. Kadangkala, satu perbualan yang sederhana mampu membuatkan seorang anak berasa dirinya masih mempunyai tempat untuk berpaut.
Perbualan mengenai hubungan, perubahan tubuh badan, batas diri dan seksual juga perlu disesuaikan dengan usia anak. Ia memastikan mereka mendapat pengetahuan yang betul dan tahu cara melindungi diri.
Institusi pendidikan dan komuniti juga perlu memainkan peranan. Pendidikan kesihatan, khidmat kaunseling yang mudah diakses serta kempen kesedaran mengenai undang-undang perlu diperkasa.
Remaja yang berdepan masalah tidak seharusnya dibiarkan mencari jalan sendiri. Jika sudah berlaku kehamilan, terdapat saluran yang lebih selamat untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan.
Peti Pelindung Bayi (Baby Hatch) seperti yang disediakan Yayasan OrphanCare boleh menjadi salah satu alternatif bagi penyerahan bayi secara tanpa nama untuk melindungi nyawa bayi.
Remaja yang memerlukan sokongan, kaunseling atau tempat perlindungan rahsia pula boleh menghubungi Talian Kasih di 15999 yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Dalam isu pembuangan bayi, kita bukan sekadar bercakap tentang seorang bayi yang kehilangan peluang untuk hidup.
Kita juga sedang bercakap tentang seorang remaja yang mungkin terlalu takut, keliru dan terdesak sehingga tidak tahu ke mana hendak meminta pertolongan.
Selamatkan anak remaja kita. Dekati mereka sebelum mereka menjauh, dengar sebelum mereka memilih untuk berdiam dan bantu sebelum semuanya terlambat. Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah.
*Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian