IPOH – Dua daripada tiga mangsa yang maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun di sini pada awal pagi Ahad, meninggal dunia akibat kecederaan berkaitan kebakaran.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia akibat terhidu asap dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 64 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 70 dan 18 tahun.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan berkaitan kebakaran manakala seorang lagi akibat terhidu asap.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Muhammad Najib berkata, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian bagi mengawal keselamatan serta menjalankan operasi pemadaman.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Terdahulu media melaporkan pasangan suami isteri warga emas bersama cucu lelaki mereka ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun di sini awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan isterinya, Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, ditemukan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.