RANTAU PANJANG - Tindakan seorang lelaki memecut motosikal bagi mengelak ditahan polis membawa padah apabila kenderaan dinaiki terbabas di jalan berlumpur sebelum dia melarikan diri ke kawasan semak samun di Jalan Kasban, Jeram Perdah di sini pada Rabu.
Lelaki terbabit bagaimanapun meninggalkan sebuah motosikal bersama dua beg berisi 100 ketulan mampat disyaki ganja seberat kira-kira 11 kilogram (kg) bernilai RM34,100.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika sepasukan anggota Strike Force Kompeni A Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan bermotosikal.
Menurut beliau, anggota bertugas mengesan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki yang bertindak mencurigakan sebelum memasuki Lorong Sapi di kawasan berkenaan.
"Anggota kemudian mengekori motosikal itu sambil memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan mengarahkan penunggangnya berhenti untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun lelaki terbabit memecut laju bagi meloloskan diri sebelum motosikal ditunggangnya terbabas di jalan berlumpur.
"Dia kemudian melarikan diri ke kawasan semak samun berhampiran dan gagal dikesan walaupun anggota melakukan pemeriksaan serta pencarian di sekitar lokasi," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut di lokasi motosikal terbabit menemui dua beg yang ditinggalkan berhampiran kenderaan itu.
Menurut beliau, beg galas berwarna merah jambu dan kelabu mengandungi 40 ketulan mampat kehijauan disyaki ganja seberat 4.4kg, manakala sebuah beg pakaian hijau dan putih mengandungi 60 ketulan seberat 6.6kg.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 11kg dengan nilai RM34,100, selain sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM1,000 dan satu unit anak kunci kenderaan.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM35,100," katanya.
Ujar beliau, hasil semakan nombor enjin dan casis motosikal berkenaan tidak menemukan sebarang rekod, sekali gus dipercayai kenderaan itu berasal dari Thailand.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kata beliau, rampasan berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.