Guru didakwa amang seksual murid lelaki dalam bilik warden

Iklan
Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di dalam bilik warden asrama sebuah sekolah rendah.

KOTA BHARU - Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki Tahun Lima di dalam bilik warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, yang juga warden asrama sekolah tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Iklan
Iklan

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika kejadian di dalam sebuah bilik warden asrama di sebuah sekolah di Dabong, Kuala Krai dekat sini kira-kira jam 1 tengah hari pada April dan 4 petang, September 2025.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 14(d) akta sama dengan kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.

Terdahulu, Syazalia tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut sangat serius.

Iklan

Siti Fathma dalam rayuannya memohon ikat jamin dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam selain mempunyai seorang isteri dan anak yang berusia tiga tahun.

"Tertuduh akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan sekiranya jaminan tidak dibenarkan sedangkan anak guam saya perlu menyara anak, isteri dan ibu bapa yang uzur.

"Sebagai penjawat awam, tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan Mohd Faiz tinggal di alamat tetap di Bachok," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut.